Istanbul: Aktivis melancarkan kempen digital menggunakan tanda pagar “They Lied to You” bagi mengembalikan penderitaan penduduk Semenanjung Gaza ke perhatian masyarakat antarabangsa, lapor Anadolu Ajansi.
Mereka menegaskan bahawa kemerosotan liputan media antarabangsa mengenai perkembangan di wilayah itu tidak bermakna perang genosid telah berakhir atau penderitaan penduduknya terhenti.
Kempen yang dilancarkan dalam bahasa Arab dan Inggeris pada 16 Julai itu disertai wartawan, petugas kemanusiaan, kanak-kanak Gaza serta penyokong dari negara Arab dan luar rantau itu.
Menerusi klip video dan hantaran bertulis, kempen itu berusaha menarik semula perhatian terhadap pembunuhan rakyat Palestin oleh Israel serta pelbagai bentuk penderitaan akibat kebuluran, pemindahan paksa dan penyakit.
Kempen itu turut bertujuan menyangkal tanggapan meluas bahawa perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak 10 Oktober 2025 telah menamatkan perang dan tragedi kemanusiaan di Gaza.
Kempen berkenaan dilancarkan ketika serangan Israel di Gaza semakin meningkat, termasuk pengeboman dan operasi pembunuhan yang mengorbankan serta mencederakan puluhan rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak dan wanita, menurut Anadolu.
Perkembangan di lapangan itu turut disertai pemindahan berterusan, kebuluran dan kekurangan rawatan perubatan yang mencukupi.
Keadaan semakin buruk apabila Israel gagal memenuhi kewajipan di bawah perjanjian gencatan senjata, termasuk membuka semula lintasan dan membenarkan kemasukan bekalan makanan, bantuan kemanusiaan serta perubatan dalam jumlah yang dipersetujui.
Aktivis menggesa masyarakat dunia bertindak menyelamatkan apa yang masih berbaki di Gaza ketika Israel memperhebatkan kemusnahan dan memperluas pendudukannya kepada 70 peratus daripada keseluruhan wilayah itu.
Tindakan berkenaan bertentangan dengan perjanjian yang hanya memperuntukkan kawalan tentera Israel ke atas 53 peratus wilayah Gaza.
“Mereka berbohong kepada anda apabila mengatakan terdapat gencatan senjata di Gaza.
“Gencatan senjata apakah ini apabila kanak-kanak masih dibunuh, rumah dibom, khemah disasarkan dan keluarga terus berduka setiap hari?” kata jurucakap Pertahanan Awam Mahmoud Basal yang menyertai kempen itu.
“Gencatan senjata sebenar bermakna pembunuhan dihentikan, pengeboman terhenti, kanak-kanak dapat tidur tanpa ketakutan dan penduduk kembali menjalani kehidupan mereka.
“Namun, serangan udara masih berterusan di Gaza dan orang awam terus menanggung akibatnya hari demi hari, meskipun terdapat pelbagai kenyataan mengenai keadaan yang kononnya kembali tenang,” katanya menerusi hantaran di platform media sosial X.
Beliau menggesa orang ramai supaya tidak membiarkan “berita yang mengelirukan menutupi kebenaran.”
Sebuah video lakonan oleh seorang aktivis yang menggunakan tanda pagar sama turut tular.
Dalam video itu, aktivis berkenaan kelihatan seolah-olah ditumbuk di muka, mulutnya ditutup dengan pita hitam dan memegang papan tanda bertulis: “Perang sudah berakhir.”
Beberapa saat kemudian, beliau menanggalkan pita berkenaan dan membalikkan papan tanda itu yang memaparkan tanda pagar “They Lied to You.”
“Mereka berbohong kepada anda. Mereka berkata semuanya sudah berakhir, Gaza tidak lagi menjadi berita dan bunyi pengeboman telah lenyap. Namun, realiti yang kami lalui amat berbeza.
“Bunyi letupan masih kedengaran, begitu juga kesan kemusnahan, penderitaan keluarga dan ketakutan kanak-kanak yang masih hidup dalam perang, kehancuran, pengeboman serta bedilan artileri,” kata aktivis Palestin Osaid al-Kahlout menerusi video yang dikongsi secara meluas.
“Kisah ini belum berakhir. Gaza bukan sekadar angka dalam buletin berita dan penduduknya bukan tajuk yang berlalu begitu sahaja.
“Kebenaran tetap ada, tidak kira berapa lama dunia berdiam diri.
“Mereka berbohong kepada anda dan sebahagian daripada anda mempercayai naratif itu. Dunia perlu sedar.
“Masalahnya bukan kerana mereka berbohong kepada anda. Masalahnya ialah anda mahu mempercayainya,” tulis aktivis Palestin Ghazi Muhi di X.
Kanak-kanak turut menyertai kempen berkenaan menerusi video yang menggambarkan penderitaan mereka dalam usaha memastikan suara mereka didengari di seluruh dunia.
“Mereka berbohong kepada anda dan berkata perang sudah berakhir. Perang, kebuluran, kemusnahan, pengeboman serta kehilangan insan tersayang dan jiran masih berlaku,” kata seorang kanak-kanak Palestin yang menerima rawatan di sebuah hospital dalam video disiarkan Pusat Maklumat Palestin.
Penyokong dari negara Arab dan luar rantau itu turut mengambil bahagian dalam kempen berkenaan.
“‘They Lied to You’ ialah kempen tanda pagar yang mencabar dakwaan bahawa perang di Gaza telah berakhir. Perang genosid masih berterusan, maka kita perlu terus menyokong Gaza,” tulis penulis Maghribi Hassan Bennajeh di X.
Seorang pengguna bernama Fatima yang memperkenalkan dirinya sebagai rakyat Yaman menulis: “Mereka berbohong kepada anda kerana kebenaran masih ditulis dengan darah mereka yang tidak berdosa.”
Aktivis Zara Mufti dari Pakistan pula menulis: “Genosid masih berterusan. Jangan berhenti bercakap mengenai Palestin.”
Seorang lagi pengguna, Sita, yang memperkenalkan dirinya sebagai warga Eropah menggesa orang ramai supaya “tidak mengabaikan penderitaan rakyat Palestin.”
Menurut angka terkini Kementerian Kesihatan Gaza, pelanggaran Israel terhadap perjanjian gencatan senjata telah mengorbankan 1,127 rakyat Palestin dan mencederakan 3,643 yang lain setakat Khamis.
Perjanjian itu dicapai selepas dua tahun perang genosid yang dilancarkan Israel pada 8 Oktober 2023 dengan sokongan Amerika Syarikat (AS).
Perang berkenaan berterusan dalam pelbagai bentuk, mengorbankan lebih 73,000 orang dan mencederakan lebih 173,000 yang lain, selain menyebabkan kemusnahan besar terhadap 90 peratus infrastruktur awam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




