am@hmetro.com.my
Seremban: Malaysia menghantar satu nota diplomatik yang disifatkan sebagai ‘amat keras’ kepada sebuah negara yang mendakwa sebahagian kawasan dalam wilayah Malaysia sebagai milik mereka.
Tanpa menyebut nama negara terbabit, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, dakwaan itu tidak berasas kerana penduduk wilayah berkenaan sudah membuat referendum yang diiktiraf masyarakat antarabangsa.
“Saya sebagai Menteri Luar sentiasa saja kadang-kadang bertengkar. Baru-baru ini saya hantar satu nota yang amat keras kepada negara berkenaan kerana adalah yang nak mengatakan bahawa kawasan dalam negara kita kawasan negara dia.
“Mereka tak sedar bahawa suatu referendum sudah dibuat oleh penduduk kawasan itu dan sudah diluluskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Ia juga sudah diluluskan resolusi Majlis Keselamatan PBB bahawa penduduk kawasan wilayah itu mahu bersama dengan kita.
“Jadi tak timbul lagi persoalan untuk mengatakan bahawa wilayah itu hak mereka,” katanya ketika berucap pada Program Kesejahteraan Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Karnival Hari Keluarga Pangkalan Udara Sendayan, hari ini.
Mohamad berkata, anggota ATM perlu terus mempertahankan wilayah dan hak kedaulatan negara daripada sebarang ancaman.
“Pertahankanlah wilayah dan hak kedaulatan wilayah kita sampai ke titisan darah terakhir kerana itulah maruah bangsa dan negara kita, insya-Allah,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, kerajaan turut memperkukuh keupayaan pertahanan negara terutama di kawasan Laut China Selatan melalui penambahan aset pemantauan.
“Itu sebabnya saya minta radar yang paling canggih untuk kita letakkan di Pulau Layang-Layang kerana tanpa mata kita yang jelas di kawasan itu, susah untuk kita beroperasi.
“Alhamdulillah kita punya UAV (Pesawat udara tanpa pemandu) dah sampai. Itu juga adalah satu aset yang amat penting bagi kita untuk mengawasi kawasan kita,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




