
Abdullah Sani (gambar kiri) mendakwa Rafizi kini semakin terdesak sehingga sanggup mencetuskan pelbagai naratif politik bagi meraih perhatian.
KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid menyifatkan tindakan Datuk Seri Rafizi Ramli mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai tidak berasas dan menunjukkan bekas Menteri Ekonomi itu kini ‘kehilangan haluan politik’.
Menurut beliau, Rafizi sepatutnya mempertahankan diri melalui saluran undang-undang sekiranya benar tidak melakukan sebarang kesalahan, bukannya cuba membina persepsi seolah-olah dirinya dizalimi.
Katanya, tindakan mengaitkan Perdana Menteri dan SPRM hanya dilihat sebagai cubaan mengalih perhatian rakyat daripada isu sebenar.
“Kalau rasa tidak bersalah dan bukti itu sampah, buktikanlah di mahkamah. Kenapa perlu heret rakyat dan gambarkan diri paling baik? Di mana zalimnya? Jangan kaitkan PM dan SPRM dalam perkara ini.
“Rafizi sudah ketandusan haluan dan kecederaan akal. Politik yang dibawa adalah politik kangkung bersepah di parit,” katanya pada Isnin.
Abdullah Sani turut mendakwa Rafizi kini semakin terdesak sehingga sanggup mencetuskan pelbagai naratif politik bagi meraih perhatian, termasuk mengumumkan hala tuju sendiri ketika pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedang memberi tumpuan kepada konvensyen parti dan agenda rakyat.
Beliau berkata, pimpinan PKR ketika ini lebih fokus kepada usaha mendekati rakyat serta memperkukuh pentadbiran kerajaan berbanding melayan dakwaan yang disifatkannya tidak memberi manfaat kepada parti mahupun negara.
“Menteri lain sibuk bekerja dan santuni rakyat. Perdana Menteri juga jelas bekerja untuk negara.
“Jadi apa yang dia buat ketika jadi Menteri Ekonomi dahulu? Banyak bercakap soal formula ekonomi tetapi rakyat sendiri tidak nampak hasilnya,” katanya.



