mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman akan memfailkan permohonan bagi prosiding inkues berhubung kes kematian tiga individu dalam insiden tembakan di Durian Tunggal, Melaka pada 24 November tahun lalu dalam tempoh dua hari lagi bagi mendapatkan tarikh pendengaran serta tindakan lanjut.
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, keputusan untuk mengadakan inkues sudah dibuat dan proses itu akan berjalan mengikut prosedur mahkamah.
“Keputusan sudah dibuat untuk inkues. Kita akan fail untuk inkues dalam dua hari lagi untuk mendapatkan tarikh dan tindakan selanjutnya,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.
Mengulas sama ada siasatan polis akan dihentikan sepanjang prosiding inkues berlangsung, beliau berkata, siasatan polis sudah diselesaikan buat masa ini.
“Kita sudah melengkapkan siasatan buat masa ini. Keputusan sudah dibuat untuk inkues. Proses inkues akan berjalan seperti kes di Sabah, adik Zara Qairina Mahathir dan ia akan melalui proses mahkamah yang menyeluruh
“Semua polis yang terbabit akan dipanggil sebagai saksi dalam prosiding berkenaan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan satu prosiding inkues diadakan bagi menyiasat kematian tiga individu dalam insiden tembakan di Durian Tunggal, Melaka pada 24 November tahun lalu.
AGC dalam satu kenyataan memaklumkan prosiding inkues itu bertujuan menentukan punca dan sebab kematian serta meneliti fakta dan keadaan yang membawa kepada kematian itu termasuk mengenal pasti sama ada wujud atau tidak sebarang unsur jenayah berhubung kematian tiga individu berkenaan.
Dalam kejadian itu, tiga lelaki berusia antara 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripada mereka didakwa menghayunkan parang ke arah seorang koperal polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal, kira-kira jam 4 pagi.
Insiden berkenaan menyebabkan anggota polis berusia awal 30-an itu mengalami kecederaan serius pada lengan kiri.
© New Straits Times Press (M) Bhd


