Kuala Lumpur: Persidangan Parti DAP 2026 pada Ahad ini bakal menentukan sama ada parti itu akan kekal atau keluar daripada Kerajaan Persekutuan sehingga tamat penggal Parlimen semasa.
Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Khoo Poay Tiong berkata, usul berhubung perkara itu akan dibentangkan oleh Setiausaha Agung DAP Anthony Loke pada persidangan berkenaan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Beliau berkata, sebanyak 4,264 perwakilan daripada 1,704 cawangan yang layak menghadiri persidangan itu akan membuat keputusan mengenai usul berkenaan menerusi undi.
“Perwakilan akan membahaskan usul itu sebelum undian dibuat. Kita akan menyerahkan kepada semua perwakilan yang hadir untuk membuat keputusan.
“Kita tidak akan menggunakan cara undian secara suara ataupun angkat tangan tetapi setiap perwakilan akan diberikan kertas undi untuk mereka membuat keputusan, ini satu proses yang telus,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat DAP di sini hari ini.
Khoo berkata, proses pengundian akan dimulakan sebaik sesi perbahasan selesai dan dijangka mengambil masa kira-kira dua jam.
Beliau menyeru semua perwakilan yang layak supaya menghadiri persidangan itu memandangkan keputusan mengenai usul tersebut penting kerana ia akan menentukan hala tuju DAP pada masa akan datang.
Dalam pada itu, Khoo menegaskan persidangan pada 16 Ogos itu persidangan tahunan parti dan bukannya Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) atau persidangan khas seperti yang disebut sebelum ini.
Beliau berkata, mengikut perlembagaan DAP, persidangan parti perlu diadakan dalam tempoh 18 bulan selepas Kongres Parti, dengan kongres terakhir berlangsung pada Mac 2025.
Persidangan kali ini, katanya turut mempunyai signifikan tersendiri kerana berlangsung sempena ulang tahun ke-60 penubuhan DAP.
Beliau berkata, PICC dipilih selepas parti meninjau kira-kira lapan lokasi dengan faktor kapasiti dan kos penganjuran antara pertimbangan utama memandangkan persidangan itu perlu menampung lebih 4,000 perwakilan.
© New Straits Times Press (M) Bhd


