Kebajikan tiga gajah Malaysia: Shelter Ihsan mahu MPT kemuka bukti, benarkan pemeriksaan bebas

Kebajikan tiga gajah Malaysia: Shelter Ihsan mahu MPT kemuka bukti, benarkan pemeriksaan bebas

SHAH ALAM – Pertubuhan Ihsan Haiwan Malaysia (Shelter Ihsan) meminta pihak berkuasa mengemukakan bukti dan rekod berkaitan kebajikan tiga ekor gajah Malaysia di Zoo Tennoji, Jepun, selain membenarkan pemeriksaan bebas dilakukan terhadap haiwan berkenaan.

Shelter Ihsan dalam kenyataannya berkata, penjelasan yang diberikan pihak Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dilihat masih belum menjawab beberapa persoalan asas yang dibangkitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), aktivis dan orang ramai sebelum ini.

Menurutnya, antara perkara yang perlu diperjelaskan termasuk kecukupan tempat berteduh, keadaan serta kualiti air kolam, pemantauan suhu air dan kaedah pemantauan kebajikan ketiga-tiga gajah berkenaan.

“Jika kebajikan tiga ekor gajah Malaysia tersebut benar-benar terjamin, buktikan dengan fakta, rekod dan pemeriksaan bebas, bukan sekadar kenyataan media.

“Adakah tempat berteduh yang disediakan benar-benar mencukupi untuk ketiga-tiga gajah khususnya ketika cuaca panas dan hujan? Mana data, ukuran dan penilaian bebas yang mengesahkan ia mencukupi?” katanya pada Ahad.

Shelter Ihsan turut mempersoalkan keadaan air kolam yang didakwa kelihatan keruh dan berkeladak berdasarkan bahan visual yang tersebar.

Katanya, MPT perlu menjelaskan siapa yang bertanggungjawab memastikan air berkenaan bersih dan selamat, selain mengemukakan rekod ujian kualiti air serta pemantauan suhunya.

“Adakah MPT mempunyai rekod suhu yang membuktikan air tersebut berada pada keadaan sesuai untuk gajah? Ada air tidak bermaksud kebajikan terjamin,” katanya.

Dalam pada itu, Shelter Ihsan turut mempersoalkan kaedah pemantauan terhadap gajah berkenaan, khususnya jika konsep ‘don’t touch’ diamalkan di Zoo Tennoji.

Menurutnya, aspek pemantauan perlu diperjelaskan termasuk pihak yang bertanggungjawab mengesan perubahan tingkah laku, kecederaan atau tekanan yang mungkin dialami gajah.

Shelter Ihsan berkata, pihaknya turut bimbang dengan beberapa bahan visual yang menunjukkan gajah berinteraksi dengan jaring serta seekor gajah dikenali sebagai Amoi bermain dengan rantai besi.

“Kami tidak mengatakan bahan visual tersebut dengan sendirinya membuktikan kecederaan, tetapi risiko keselamatan seperti ini wajib disiasat dan bukannya dipandang ringan.

“Persoalannya, bagaimana objek yang berpotensi membahayakan gajah boleh berada dalam jangkauan haiwan tersebut?” katanya.

Selain itu, Shelter Ihsan mendakwa keadaan kawasan kurungan yang dipaparkan dalam bahan visual kelihatan gersang dan tandus, dengan tumbuhan, teduhan semula jadi serta bahan makanan yang didakwa terhad.

Justeru, pertubuhan itu mahu MPT menjelaskan asas kebajikan dan standard habitat yang digunakan bagi menentukan kawasan berkenaan sesuai untuk tiga ekor gajah Malaysia.

Shelter Ihsan turut membangkitkan persoalan mengenai struktur gantungan yang dikatakan digunakan sebagai sebahagian daripada latihan bagi membantu DAK mendapatkan makanan daripada pokok.

Menurutnya, terdapat dakwaan struktur berkenaan tidak menyediakan bahan makanan yang mencukupi dan sesuai sehingga gajah dilihat cuba menggigit atau memakan bahagian struktur itu sendiri.

“Jika struktur yang sepatutnya menjadi alat pengayaan atau latihan sehingga menarik gajah untuk menggigit dan memakan bahagian struktur itu sendiri, MPT wajib menjelaskan bahan yang digunakan, reka bentuknya, tujuan sebenar struktur tersebut serta sama ada ia telah dinilai oleh pakar tingkah laku dan kebajikan gajah,” katanya.

Sehubungan itu, Shelter Ihsan menggesa seorang pakar gajah atau pakar tingkah laku dan kebajikan hidupan liar yang bebas serta mempunyai kepakaran berkaitan diberikan akses untuk menilai keadaan ketiga-tiga haiwan berkenaan secara profesional.

Penilaian itu, katanya, perlu merangkumi keadaan fizikal, struktur kurungan, tahap pengayaan, sumber makanan, teduhan, ruang pergerakan, tingkah laku, keselamatan serta kesesuaian keseluruhan persekitaran.

Pertubuhan itu turut menggesa satu pasukan penyiasat bebas dan berintegriti menjalankan pemeriksaan menyeluruh termasuk terhadap keadaan fizikal gajah, tempat berteduh, sumber air, kualiti dan suhu air, keselamatan kawasan, pemantauan harian serta rekod veterinar.

“Ini bukan soal mencari gaduh dengan MPT. Ini soal amanah terhadap khazanah negara.

“Tiga ekor gajah Malaysia bukan sekadar angka dalam rekod atau haiwan yang boleh dihantar keluar negara kemudian dilupakan. Mereka adalah khazanah negara dan kebajikan mereka adalah tanggungjawab yang mesti boleh dipertanggungjawabkan kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Shelter Ihsan menegaskan orang ramai tidak hanya memerlukan kenyataan media, sebaliknya mahukan bukti, rekod dan ketelusan berhubung keadaan sebenar tiga ekor gajah Malaysia tersebut.

Scroll to Top