Kena denda RM257,000 angkara pertikai pengadil wanita

Kena denda RM257,000 angkara pertikai pengadil wanita

Paris: Penganjur Roland Garros dan Persekutuan Tenis Perancis (FFT) mengenakan denda AS$65,000 (RM257,700) ke atas pemain Paraguay, Adolfo Daniel Vallejo susulan kenyataannya mengenai pengadil wanita yang mengendalikan perlawanan pusingan kedua Terbuka Perancis.

Selepas tewas kepada pemain Perancis berusia 17 tahun, Moise Kouame menerusi tie-break set kelima, Vallejo mendakwa pengadil dari Brazil, Ana Carvalho tidak cukup tegas berdepan sokongan penyokong tuan rumah terhadap lawannya.

Pengarah kejohanan, Amelie Mauresmo berkata, denda berkenaan bersamaan hampir separuh daripada hadiah kemenangan yang diperoleh pemain itu di kejohanan berkenaan.

“Denda sebanyak AS$65,000 dikenakan, iaitu kira-kira separuh daripada wang hadiah yang dimenanginya,” katanya pada sidang media hari ini.

Pemain yang tersingkir pada pusingan kedua perseorangan lelaki menerima hadiah wang tunai sebanyak €130,000 (RM598,800).

Menurut Mauresmo, kenyataan Vallejo tidak boleh diterima dan bertentangan dengan nilai yang dibawa kejohanan serta persekutuan tenis negara itu.

“Ini sesuatu yang tidak boleh diterima oleh kami, oleh kejohanan dan juga persekutuan. Bahasa seperti ini tidak mempunyai tempat di sini,” katanya.

Selepas tewas dalam aksi yang berlangsung hampir lima jam dengan keputusan super tie-break, Vallejo meluahkan rasa kecewa kepada majalah tenis Clay.

“Perlawanan seperti ini perlu dikendalikan oleh lelaki. Sangat sukar untuk wanita mengendalikannya.

“Ia perlu diadili oleh lelaki kerana penyokong sangat agresif dan anda memerlukan ketegasan yang tinggi untuk berdepan mereka,” kata pemain berusia 22 tahun itu.

Susulan tindakan penganjur mengumumkan denda terhadapnya, pemain ranking ke-71 dunia itu tampil memohon maaf menerusi media sosial.

“Saya menghormati semua pengadil dan tugas yang mereka lakukan. Selepas pertarungan hampir lima jam, saya terlalu emosional. Saya memohon maaf,” katanya menerusi Instagram.

Vallejo turut menjelaskan kenyataannya disalah tafsir dan menegaskan dia tidak menyalahkan pengadil atas kekalahannya.

“Saya juga mahu menjelaskan bahawa saya tidak menyalahkan beliau atas kekalahan itu. Dia menjalankan tugas dengan baik sepanjang perlawanan.

“Saya akan mengambil pengajaran daripada perkara ini dan menjadi lebih baik pada masa depan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top