Konsep Mid-Century Modern, Bauhaus cipta kediaman selesa

Konsep Mid-Century Modern, Bauhaus cipta kediaman selesa

Pemilik kediaman kini tidak lagi terikat kepada satu konsep atau tema tertentu semata-mata. Sebaliknya, ramai yang memilih untuk menggabungkan beberapa elemen dekorasi bagi menghasilkan ruangan yang mencerminkan diri sendiri.

Antara konsep yang semakin mendapat perhatian ialah konsep Mid-Century Modern yang dipadankan dengan sentuhan Bauhaus sekaligus ia berjaya mewujudkan ruangan yang moden dan kemas.

Menurut Nur Ameera, pemilihan konsep tersebut didorong oleh kecenderungannya terhadap ruang yang mempunyai suasana hangat (warm) dan selesa untuk didiami.

Konsep Mid-Century Modern, Bauhaus cipta kediaman selesa

Katanya, penggunaan warna dalam konsep tersebut turut menarik perhatiannya kerana tampil lebih timeless selain mampu menggambarkan identiti serta cita rasa peribadinya.

“Saya lebih cenderung untuk memilih konsep yang membuatkan setiap ruangan terasa warm dan selesa untuk didiami.

“Malah, saya juga ingin mencipta ruangan yang mempunyai “jiwa”, membuatkan setiap sudut mempunyai cerita sama ada melalui pilihan warna, perabot, karya seni atau dekorasi yang saya hasilkan sendiri,” katanya.

Gaya tersebut memberi kebebasan kepadanya untuk bermain dengan warna, tekstur dan objek yang mempunyai nilai sentimental.

Cipta Ruang Mengikut Cita Rasa

Nur Ameera turut berkongsi minat yang mendalam terhadap seni, reka bentuk dalaman dan seni bina menjadi antara sumber utama bagi mendapatkan idea dalam menghias kediamannya.

Majalah berkaitan dekorasi serta rumah-rumah lama yang mempunyai karakter tersendiri juga turut menjadi sumber inspirasinya dalam mendekorasi rumahnya.

Namun, dia mengambil pendekatan untuk tidak menerapkan idea secara terus sebaliknya menggabungkan kesemua idea tersebut dan mengolahnya mengikut cita rasanya sendiri.

Dalam proses mendekorasi rumah, dia mengambil masa sekitar dua tahun bagi mendekorasi rumahnya tanpa melibatkan sebarang pengubahsuaian yang besar.

“Saya menghiasnya secara perlahan-lahan mengikut kemampuan dan inspirasi yang datang. Jadi, dari situ saya dapat menjimatkan kos renovasi,” katanya.

Nur Ameera berkata, kebanyakan perabot merupakan hasil idea dan sentuhan air tangannya sendiri memandangkan setiap ruang perlu mempunyai nilai sentimental serta menjadi tempat yang menyimpan pelbagai memori.

Namun, Nur Ameera juga turut memilih untuk membeli perabot baharu atau terpakai bagi melengkapkan setiap sudut ruangan di rumahnya.

“Bagi saya, tidak semestinya ruangan akan tampak mahal dengan perabot mahal. Cara kita menggabungkan setiap elemen itu yang membuatkan sesuatu ruang mempunyai identiti tersendiri,” ujarnya.

Ruang Tamu Dan Bilik Tidur Ruangan Pilihan

Ditanya mengenai ruangan pilihan, Nur Ameera memilih ruang tamu serta bilik tidur kerana kedua-dua ruangan itu mencerminkan personaliti diri serta cita rasanya.

Katanya, kedua dua ruangan tersebut membolehkannya untuk bermain dengan elemen yang digemarinya bagi menaikkan seri setiap ruangan.

“Di ruangan inilah saya mempunyai kebebasan untuk bereksperimen dan bermain dengan beberapa elemen seperti warna, tekstur, seni dan dekorasi,” katanya.

Scroll to Top