Pekerja pembersihan yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pekerja Pembersihan 2026 berpeluang menerima pengiktirafan lebih tinggi apabila Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bercadang mencalonkan mereka untuk menerima pingat kebaktian daripada pihak istana.
Pemenang akan disenarai dan dicalonkan kepada pihak istana
Menerusi kenyataan Menterinya, Nga Kor Ming, cadangan itu dibuat susulan perbincangan bersama Ketua Setiausaha Kementerian KPKT, Datuk Dr Wira M Noor Azman Taib bagi memastikan jasa serta pengorbanan pekerja pembersihan mendapat penghargaan sewajarnya.
“Pemenang anugerah pekerja pembersihan negara tahun ini akan kita senaraikan dan dicalonkan kepada pihak istana untuk menerima pingat kebaktian daripada Tuan Yang Terutama atau negeri masing-masing,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Hari Pekerja Pembersihan 2026 di sini pada Selasa.
Turut hadir, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu.
Sudah tiba masanya wira kebersihan diiktiraf
Menurut Kor Ming, amalan memberikan penghormatan kepada wira pembersihan negara telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang sejak hampir 10 tahun lalu.
“Bagi saya, sudah tiba masanya wira-wira pembersihan negara kita di negeri lain turut diberikan pengiktirafan dan juga penghormatan sewajarnya,” katanya.
Beliau menyatakan, pengiktirafan itu penting memandangkan sektor pengurusan sisa pepejal serta pembersihan awam Malaysia kini disokong oleh 26,889 warga kerja di bawah syarikat konsesi, dengan ramai antara mereka telah menabur bakti melebihi sedekad.
Jelasnya, pekerja pembersihan memainkan peranan penting dalam memastikan persekitaran negara kekal bersih, selamat dan selesa untuk rakyat, meskipun tugas mereka sering dilakukan di belakang tabir.

Jaga kebersihan adalah tanggungjawab bersama
Dalam pada itu, Kor Ming menegaskan tanggungjawab menjaga kebersihan negara bukan hanya terletak di bahu pekerja pembersihan, sebaliknya menjadi tanggungjawab setiap rakyat.
Beliau turut menyeru agar sikap tidak membuang sampah diterapkan dalam setiap lapisan masyarakat bagi memastikan aspirasi Malaysia Bersih, Rakyat Sejahtera dapat direalisasikan.
Sehubungan itu, beliau meminta SWCorp memperhebat penguatkuasaan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) bagi memastikan masyarakat lebih bertanggungjawab terhadap kebersihan awam.
“Setakat semalam, sebanyak 14,807 notis kesalahan telah dikeluarkan, dan seramai 548 individu menjalani PKM di negeri-negeri yang menerima pakai Akta 672.
“Daripada jumlah tersebut, 419 telah selesai melaksanakan PKM manakala 129 individu masih dalam pelaksanaan,” katanya.

Kor Ming menambah, pelaksanaan PKM bukan semata-mata satu bentuk hukuman, sebaliknya berperanan sebagai instrumen pendidikan bagi membentuk sikap, disiplin dan rasa tanggungjawab terhadap kebersihan awam.
Pada majlis sama, seramai tujuh individu menerima Anugerah Pekerja Pembersihan 2026, masing-masing dua daripada Alam Flora Sdn Bhd dan lima daripada SWM Environment Sdn Bhd.
Turut disampaikan sumbangan keprihatinan kepada tiga penerima sebagai tanda kebersamaan dan keprihatinan terhadap kebajikan warga kerja.
Sumber: Facebook Nga Kor Ming
