16 Mei 2026 04:25pm
Masa membaca: 4 minit

Kubo berjanji untuk memikul tanggungjawab lebih besar bersama Japan selepas rakan sepasukan, Kaoru Mitoma disahkan terlepas saingan Piala Dunia 2026 akibat kecederaan hamstring. FOTO: Agensi
PEMAIN sayap, Takefusa Kubo berikrar untuk memikul tanggungjawab lebih besar bersama Jepun selepas rakan sepasukan, Kaoru Mitoma terpaksa disisihkan daripada skuad Piala Dunia 2026 akibat kecederaan hamstring.
Mitoma terlepas senarai akhir selepas pasukan perubatan negara itu menilai beliau tidak sempat pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialami ketika bersama Brighton & Hove Albion FC dalam aksi menentang Wolverhampton Wanderers FC di Liga Perdana Inggeris (EPL).
Kehilangan pemain berusia 28 tahun itu dianggap tamparan besar buat Jepun memandangkan Mitoma antara tonggak utama yang pernah membantu kemenangan ke atas England dalam aksi persahabatan di Wembley.
Kubo yang juga pemain Real Sociedad mengakui situasi itu memberi kesan emosi kepada skuad, namun menegaskan pasukan tidak boleh terlalu lama memikirkan ketiadaan rakan sepasukan tersebut.
“Kecederaan ini sangat mengecewakan. Dia pemain penting dan kami semua tahu apa yang dia boleh lakukan untuk pasukan.
“Saya sudah berhubung dengannya dan mahu membawa semangatnya bersama saya di Piala Dunia ini,” katanya dipetik media Jepun.
Kubo turut menegaskan Jepun tidak bergantung kepada seorang pemain sahaja dan percaya barisan lain mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan Mitoma dalam misi mereka di pentas terbesar dunia itu.
“Pemain gantian akan mendapat peluang mereka. Kami perlu bersatu sebagai satu pasukan dan beri fokus sepenuhnya untuk menjayakan kejohanan ini,” ujarnya.
Jepun diundi dalam Kumpulan F bersama Belanda, Sweden dan Tunisia dengan aksi pembukaan menentang Belanda di Arlington, Texas pada 14 Jun.



