PAMERAN Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 bukan sahaja akan disertai pempamer tempatan, malah turut melibatkan penyertaan peserta luar dari lima hingga enam negara termasuk Kanada dan Hungary.
Ketua Sekretariat MAHA 2026, Datuk Dr Mohd Haniff Hassan berkata, beberapa negara lain dari Eropah turut mengesahkan penyertaan dalam pameran berprestij itu yang akan berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) pada Ogos tahun ini.
Menurutnya, penyertaan antarabangsa itu bakal membawa teknologi baharu seterusnya membuka peluang padanan perniagaan antara pemain industri tempatan dan luar negara.
“Setakat ini kita sudah menerima pengesahan daripada lima hingga enam negara termasuk Kanada, Hungary dan beberapa negara Eropah lain.
“Selain teknologi baharu, produk hiliran pertanian juga akan diketengahkan kepada peserta luar negara menerusi sesi padanan perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Perasmian Road To MAHA 2026 Zon Selatan di pasar raya besar Mydin di sini pada Sabtu.
Perasmian disempurnakan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Yuhaizad Abdullah mewakili Menteri, Datuk Seri Mohamad Sabu yang tidak dapat hadir pada majlis berkenaan.

Gimik perasmian Road to MAHA 2026 Zon Selatan disempurnakan Yuhaizad (dua dari kiri) mewakili menteri berlangsung pada Sabtu lalu di Mydin Jasin.
Pada majlis itu turut dilancarkan pelancaran Lagu MAHA 2026 dinyanyikan penyanyi terkenal tanah air, Faizal Tahir.
Tambah beliau, MAHA 2026 menyasarkan kehadiran empat juta pengunjung membabitkan urus niaga bernilai sekitar RM58 juta dapat direkodkan selain penyertaan sekitar 2,000 pempamer melalui reruai yang disediakan.
Pihaknya turut menyasarkan nilai memorandum persefahaman (MoU) perdagangan mencecah RM8 bilion sepanjang ekspo dari 28 Ogos hingga 6 September ini.
“Selain itu, kita juga jangka 800,000 belia ceburi bidang pertanian melalui pelbagai program dan pendedahan teknologi moden.
“Antara tarikan utama MAHA 2026 ialah pameran teknologi pertanian terkini termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam sektor agro.
“Kita galakkan pemuda dan belia (sertai pertanian) dan memperkenalkan teknologi AI dalam pertanian, termasuk tata cara untuk kita menanam, membenih dan membaja dan sebagainya,” katanya.

Yuhaizad meninjau gerai jualan yang terdapat di Road to MAHA 2026 Zon Selatan di Mydin Jasin.
Sementara itu, Yuhaizad berkata, Road To MAHA 2026 Zon Selatan sebagai platform awal mempromosikan MAHA 2026 yang akan menghimpunkan pemain industri agromakanan, usahawan serta agensi kerajaan dan swasta dalam memperkukuh pembangunan sektor pertanian dan keterjaminan makanan negara.
“Road To MAHA Zon Selatan menyajikan pelbagai pengisian program melibatkan penyertaan seramai 30 hingga 35 usahawan Industri Asas Tani di bawah jabatan dan agensi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
“Ia juga disertai lapan usahawan jualan segar melalui Program Jualan Agro Madani dan 11 pameran dari jabatan dan agensi kerajaan dengan jangkaan kehadiran antara 5,000 hingga 7,000 pengunjung dari seluruh Melaka dan utara Johor,” katanya.

Yuhaizad (tengah) meninjau reruai agensi kerajaan di Road to MAHA 2026 Zon Selatan berlangsung Sabtu lalu di Mydin Jasin.
Ujarnya, antara tarikan utama iaitu demonstrasi produk berasaskan nanas oleh Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) seperti penghasilan kertas dan benang nanas.
Tambah beliau, program turut diserikan dengan penglibatan jabatan dan agensi lain seperti demonstrasi pembuatan baja dan bio-repellant oleh Jabatan Pertanian Malaysia dan kempen galakan makan buah-buahan tempatan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan.
Turut diadakan taklimat ancaman ikan asing oleh Jabatan Perikanan Malaysia, demonstrasi masakan berasaskan ikan laut oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia.



