Empat sekeluarga yang terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah lori Jabatan Imigresen dipercayai sudah berada di kawasan selamat di persimpangan lampu isyarat Jalan Sultan Ismail ketika kejadian berlaku kira-kira pukul 1 pagi.

Memetik laporan Utusan Malaysia, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), keluarga berkenaan berada di pembahagi jalan di persimpangan lampu isyarat Jalan Sultan Ismail dari arah Medan Tuanku, berhampiran Maju Junction. Mereka dipercayai sedang bersiap untuk melintas menuju ke Jalan Chow Kit.
Bagaimanapun, sebuah lori Imigresen yang datang dari arah bangunan Wisma FGV dengan lampu beacon dipasang secara tiba-tiba memasuki Jalan Tuanku Abdul Rahman ketika lampu isyarat trafik masih merah.
Lori terbabit kemudiannya dilanggar sebuah kereta Proton Saga yang bergerak dari arah Chow Kit menuju ke Maju Junction.
Rempuhan berkenaan mengakibatkan tiga daripada empat ahli keluarga itu mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, hasil siasatan awal mendapati semua mangsa berada di kawasan yang selamat untuk melintas ketika kejadian berlaku.

“Berdasarkan siasatan dan pengamatan rakaman CCTV semasa kejadian, kedudukan keluarga itu berada di kawasan selamat untuk melintas jalan namun mereka dirempuh lori Imigresen.
“Semua sedia maklum, sistem CCTV di kawasan berkenaan adalah ditahap terbaik dan mampu membantu kita menjalankan siasatan sewajarnya.
“Pada masa ini, pemandu lori Imigresen berkenaan ditahan reman untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya, hari ini.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, pemandu lori Imigresen dan pemandu Proton Saga masing-masing direman sehari sehingga esok.
Beliau berkata, kedua-duanya direman bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, tiga daripada empat anggota keluarga terbabit maut selepas dirempuh lori Imigresen yang dipercayai sedang bergerak bagi mengambil Orang Kena Tahan (OKT) dalam satu operasi.
Isteri mangsa berusia 55 tahun yang merupakan ibu kepada dua anak perempuan pula mengalami kecederaan pada kepala, tangan kanan serta kedua-dua kaki.
Artikel lain: Tragedi 3 sekeluarga maut dilanggar lori imigresen, JIM serah siasatan kepada polis
Mangsa kemudian dikejarkan ke zon merah Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan.
Keluarga berkenaan dipercayai berasal dari Kampar dan berada di ibu negara bagi tujuan bercuti.
Difahamkan, seorang lagi anak mangsa tidak menyertai percutian bersama keluarga ketika kejadian berlaku.
Sumber: Utusan Malaysia (Nuraina Hanis Abd. Halim)

