Panas melampau dikaitkan dengan bayi dilahirkan kurang berat – Kajian

Panas melampau dikaitkan dengan bayi dilahirkan kurang berat – Kajian
Panas melampau dikaitkan dengan bayi dilahirkan kurang berat – Kajian

Kajian mendapati kadar kelahiran kurang berat meningkat ketika musim panas. – Agensi

CANBERRA – Pendedahan kepada haba melampau meningkatkan risiko bayi dilahirkan kurang berat badan, menurut kajian baharu Universiti Adelaide, lapor Xinhua.

Penyelidikan itu menganalisis data kesihatan daripada lebih 85,000 ibu dan bayi di Pakistan, menggabungkan rekod kelahiran selama 10 tahun (2008-2017) dengan data suhu untuk menilai bagaimana haba melampau mempengaruhi berat kelahiran, menurut kenyataan Universiti Adelaide pada Khamis.

Dapatan kajian menunjukkan 18 peratus bayi didapati mempunyai berat lahir rendah, ditakrifkan sebagai berat kurang daripada 2.5 kilogram (kg) atau digambarkan sebagai saiz yang lebih kecil daripada purata ketika lahir.

Penyelidikan yang diterbitkan dalam BMC Medicine itu, mengaitkan kira-kira 13 peratus kes berat lahir rendah dengan cuaca panas, angka yang diunjurkan meningkat 8-10 peratus menjelang 2060-an disebabkan oleh perubahan iklim.

Di sesetengah kawasan di Pakistan, wanita hamil yang terdedah kepada suhu tinggi adalah sehingga 70 peratus lebih berkemungkinan melahirkan bayi berat lahir rendah, disebabkan iklim mereka yang lebih panas dan kelemahan sosioekonomi antara faktor lain, kata ketua projek, Profesor Madya Zohra Lassi dari Institut Penyelidikan Robinson Universiti Adelaide.

Berat lahir rendah membawa kepada kematian neonatal dan masalah kesihatan jangka panjang terjejas seperti pertumbuhan terbantut atau kecacatan kognitif, kata Lassi.

Penulis utama Hira Fatima, felo penyelidik pascadoktoral di Universiti Canberra, berkata perkhidmatan kesihatan ibu yang lebih kukuh dan strategi penjagaan ibu yang disesuaikan dengan iklim amat diperlukan.

Fatima memberi amaran bahawa perubahan iklim, digabungkan dengan kemiskinan dan akses penjagaan kesihatan yang terhad, kualiti udara yang buruk dan kekurangan zat makanan ibu, boleh meningkatkan risiko untuk ibu dan bayi baru lahir. – Bernama

Scroll to Top