Pemandu ambulans aktif bersukan kini berjuang lawan barah pangkal hidung

Pemandu ambulans aktif bersukan kini berjuang lawan barah pangkal hidung

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kajang: Lelaki ini aktif bersukan malah bukan perokok namun kini berjuang melawan derita akibat barah Nasopharyngeal Carcinoma (NPC) atau barah pangkal hidung tahap tiga yang mula dikesan kira-kira dua tahun lalu.

Mohamad Najib Ahmad, 44, yang bekerja sebagai pemandu kenderaan dan ambulans di Universiti Putra Malaysia (UPM) mengakui terkejut pada awalnya kerana tiada ahli keluarga lain yang menghidap barah atau penyakit sama.

Bagaimanapun, simptom awal dialami iaitu bengkak pada leher kiri dan hasil carian maklumat dijalankan membuatkannya bersedia dengan segala kemungkinan sebelum doktor mengesahkannya.

Berkongsi kisah itu, Mohamad Najib berkata, pada awalnya, ada bengkak kelenjar pada bahagian kiri leher dan dia kemudiannya berjumpa doktor yang kemudiannya memberi ubat antibiotik.

“Ingatkan biasa kerana selepas makan, bengkak itu surut jadi teruskan kerja macam biasa.

“Tak lama selepas itu, ada bengkak luar biasa pula pada bahagian kiri leher tapi bila ditekan, tak sakit pun.

“Waktu itu, saya macam ambil mudah sehingga satu hari berjumpa dengan seorang pensyarah tidak dikenali ketika akhir kursus. Beliau kesan ada yang tak kena dan sarankan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur untuk pemeriksaan lanjut,” katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya dekat sini.

Selepas seminggu, Mohamad Najib menerima keputusan dan disahkan menghidap barah yang belum merebak ke paru-paru.

Mohamad Najib dapat bekerja seperti biasa namun disyorkan mencabut enam gigi iaitu dua geraham bawah dan empat gigi bongsu bagi membolehkan rawatan susulan dijalankan.

“Sebelum cabut gigi, berat saya 72 kilogram (kg) namun turun kepada 66 kg selepas itu kerana tak dapat makan macam biasa.

“Selepas sebulan, saya mula menjalankan kemoterapi dan cabaran waktu itu adalah sakit kepala luar biasa yang menyerang tak tentu masa.

“Saya dikehendaki menjalani 14 pusingan kemoterapi. Fasa patah semangat apabila masuk radioterapi yang bermula ketika minggu terakhir kemoterapi.

“Ia disebabkan masalah kewangan kerana perlu membeli ubat, krim, ubat gigi dan susu khas yang agak mahal harganya.

“Ada waktunya, saya tak mampu membeli susu dan walaupun masih dapat gaji bulanan, elaun bulanan dipotong, bayaran rumah sewa pula tertunggak selama setahun tapi rezeki saya kerana dapat tuan rumah baik serta memahami,” katanya yang sudah menjalani 35 pusingan radioterapi.

Menurutnya, zahirnya, dia nampak sihat namun dalaman sebaliknya malah tidak dapat menikmati kehidupan normal seperti dulu.

Katanya, kekuatan datang daripada dirinya sendiri malah mengharungi ujian sendirian ketika fasa awal menghidap barah kerana berjauhan dengan isteri yang ketika itu berkhidmat di Sarawak.

“Saya masih ingat lagi kenangan ke hospital menaiki motosikal untuk menjalani kemoterapi malah bergerak dari rumah seawal selepas Subuh.

“Kawan pun tak boleh bantu kerana masing-masing ada komitmen termasuk keluarga jadi tiada siapa boleh tolong melainkan diri sendiri.

“Saya pun sudah banyak jumpa orang sakit malah ada meninggal di depan saya iaitu dalam ambulans. Semua itu saya pernah lalui jadi sudah bersedia awal cuma cabarannya adalah kerana kali pertama berdepan ujian dan mengharunginya sendirian,” katanya.

Kini, Mohamad Najib sudah berdamai dengan takdir dan memanfaatkan TikTok sebagai medium perkongsian dengan niat kesedaran mengenai barah pangkal hidung.

“Kebanyakan orang abaikan aspek kesihatan termasuk saya dulu, malah ambil mudah soal pemakanan kerana ada tabiat makan berat lewat malam dan minum air manis selepas bersukan.

“Bila sakit, wang yang ada habis digunakan walaupun pernah ada simpanan sebanyak RM70,000. Sekarang sudah ada kesedaran dan kalau boleh, saya nak menyelamatkan orang ramai daripada penyakit kronik itu menerusi perkongsian di TikTok.

“Saya pun cuba ubah gaya hidup dan jaga persekitaran dengan menjauhi perokok kerana dalam keadaan sekarang, ia boleh lebih memudaratkan kesihatan saya,” katanya yang masih menaruh harapan untuk sembuh dan akan kembali bertugas pada Julai depan.

Ketika ini, Mohamad Najib memerlukan dana bagi membeli keperluan terutama susu khas jadi orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 562263677262 atas nama Mohamad Najib Ahmad.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top