POS tangguh AGM demi kelancaran persiapan Sukma 2026

POS tangguh AGM demi kelancaran persiapan Sukma 2026

Serdang: Persatuan Olahraga Selangor (POS) menangguhkan mesyuarat agung tahunan (AGM) terlebih dahulu bagi memberi laluan kepada persiapan dan penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) 2026.

Presidennya Norhayati Karim berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat jawatankuasa induk POS yang mengambil kira kepentingan penganjuran Sukma serta persiapan kontinjen Selangor sebagai tuan rumah.

Beliau berkata mesyuarat selama tiga jam itu berlangsung dalam suasana harmoni dan matang, serta menjurus kepada perbincangan mengenai pembangunan olahraga, persiapan penganjuran Sukma dan pengurusan kontinjen Selangor.

“Kita tidak mahu sebarang pertukaran pucuk pimpinan pada saat akhir memberi implikasi kepada penganjuran Sukma dan persiapan atlet.

“Selangor adalah tuan rumah, jadi fokus utama kami ketika ini ialah memastikan penganjuran berjalan lancar serta kontinjen berada pada tahap terbaik,” katanya kepada pemberita pada Mesyuarat Jawatankuasa Induk POS di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini.

Beliau berkata susulan keputusan tersebut, POS telah mengemukakan permohonan rasmi kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) untuk menangguhkan AGM yang sepatutnya diadakan sebelum 31 Mei dan permohonan itu diluluskan.

Norhayati berkata, POS turut menerima surat daripada PJS yang membenarkan lanjutan tempoh mengadakan AGM hingga 1 November depan.

Terdahulu, wakil daerah Sri Petaling SM Muthu, mempersoalkan kesahihan keputusan menangguhkan AGM persatuan itu, dengan mendakwa tindakan berkenaan tidak mendapat sokongan majoriti ahli yang layak mengundi seperti diperuntukkan dalam perlembagaan persatuan.

Beliau berkata, berdasarkan perlembagaan POS, sebarang penangguhan AGM perlu mendapat persetujuan majoriti dua pertiga daripada ahli yang berhak mengundi.

“Terdapat sembilan daerah yang mempunyai hak mengundi dengan jumlah 27 wakil. Mengikut perlembagaan, persetujuan perlu diperoleh daripada ahli-ahli yang layak mengundi terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Kami difahamkan permohonan itu dihantar kepada PJS tanpa mendapat persetujuan mencukupi daripada wakil-wakil daerah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top