Elvina sanggup tolak ‘job’ lakonan, enggan lakukan babak keterlaluan

Elvina sanggup tolak ‘job’ lakonan, enggan lakukan babak keterlaluan

Pelakon Datin Elvina Mohamad mengambil keputusan menarik diri daripada sebuah telefilem baharu, dua hari sebelum penggambaran bermula.

Tak mahu lakukan babak panas

Memetik laporan HibGlam, menurut Elvina, 31, keputusan itu dibuat selepas pihak produksi termasuk pengarah, penerbit dan stesen televisyen tidak bersetuju untuk mengubah beberapa babak yang disifatkannya terlalu berani dan melampaui batas keselesaannya.

Menerusi perkongsian di Threads, Elvina mengakui pada awalnya berasa teruja untuk kembali ke lokasi penggambaran selepas sekian lama tidak berlakon, namun nalurinya seakan memberi petanda bahawa ada sesuatu yang tidak kena.

“Kadang-kadang naluri kita ini betul. Rasa teruja tapi dalam masa sama rasa macam berat.
“Entah, susah nak gambarkan. Sepatutnya lusa dah nak masuk set untuk telefilem.
“Dah teruja sebab lama tak berlakon kan, tapi akhirnya tak jadi sebab pengarah, penerbit dan stesen televisyen berkeras nak buat babak yang bagi saya agak keterlaluan,” ciapannya, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, pelakon drama Seadanya Aku itu berkata terdapat beberapa adegan yang membuatkannya tidak selesa untuk diteruskan.

Katanya, salah satu babak memerlukan dia didukung dalam keadaan yang dianggap terlalu daring, manakala satu lagi adegan turut disifatkan sebagai melampaui batas.

“Ada babak kena dukung (daring) dan ada satu lagi babak yang saya memang tak selesa langsung, bagi saya agak keterlaluan.
“Nak cakap pun geli tapi bila saya minta tukar screenplay (lakon layar) atau guna ‘camera trick’, katanya tak boleh.” luahnya lagi.

Walaupun terpaksa melepaskan peluang berlakon dalam telefilem tersebut, Elvina memilih untuk mempertahankan prinsip diri dan menerima ketentuan bahawa projek itu bukan rezekinya.

“Pada akhirnya saya tetap ada batasan sendiri dan ada perkara yang saya memang tak selesa nak buat. Tidak mengapa, mungkin kerja ini tidak ditakdirkan untuk saya. Ada rezeki lain insya-Allah,” ujarnya.

Artikel lain: Elvina Mohamad pertahankan diri, nafi lakukan babak panas

Sebelum ini, Elvina pernah menjadi sasaran kecaman netizen susulan babak di atas katil yang dilakonkannya bersama pelakon Hazeeq Deen dan dianggap melampaui batas oleh segelintir pihak.

Bagaimanapun, Elvina tampil menjelaskan bahawa dia tidak menjayakan adegan ranjang tersebut sendiri, sebaliknya menggunakan khidmat pelakon pengganti (stunt double) untuk babak berkenaan.

Sumber: HibGlam (NUR AL- FAIRUZA SYARFA SAIDI NOR SAIDI)

Scroll to Top