Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendedahkan bahawa lebih RM250,000 hasil pendapatan beliau sebagai duta sebuah produk telah disalurkan sepenuhnya untuk tujuan kebajikan masyarakat di kawasan Parlimen Muar.
Sumbang lebih RM250,000 hasil jadi duta

Menerusi perkongsian di Threads, Syed Saddiq memaklumkan dana berkenaan dimanfaatkan bagi pelbagai inisiatif termasuk membantu golongan yang memerlukan serta pelajar yang bakal melanjutkan pengajian.
“Sepanjang setahun pertama, lebih RM250,000 disumbangkan sepenuhnya untuk kerja-kerja kebajikan di Muar.
“Daripada sumbangan itu, ratusan komputer riba sampai ke tangan anak-anak Muar. Ribuan bakul makanan pula sampai kepada keluarga yang memerlukan,” ciapannya, semalam.
Menurut Syed Saddiq, tanggungjawab sebagai duta bukan sesuatu yang mudah kerana perlu membahagikan masa antara komitmen rasmi dan kerja promosi.
“Saya kena kerja pagi malam. Shooting. Siaran langsung. Program.
“Penat? Memang penat,” katanya.

Namun begitu, beliau mengakui segala keletihan itu terubat apabila melihat kesan positif kepada penduduk Muar hasil sumbangan tersebut.
“Tapi bila saya tengok senyuman anak Muar yang dapat komputer riba pertama mereka sebelum masuk universiti, semua penat itu hilang.
“Terima kasih Kitsui Malaysia dan Bella Astillah,” tambahnya lagi.
Artikel lain: Bella Astillah tak pilih tarikh kahwin cantik, fokus kes mahkamah Syed Saddiq dulu
Terdahulu, kolaborasi antara Syed Saddiq dan Bella Astillah sebagai duta produk itu sering mencuri perhatian ramai, malah turut dipuji kerana menggabungkan kerjasama komersial dengan aktiviti kebajikan masyarakat.
Sebelum ini, tunangya, Bella Astillah mengakui masih belum memikirkan soal persiapan perkahwinan dan memilih untuk memberi fokus sepenuhnya terhadap keputusan rayuan akhir kes mahkamah yang melibatkan Syed Saddiq.
Tambahnya lagi, segala perancangan berkaitan majlis perkahwinan hanya akan difikirkan selepas 30 Jun ini, iaitu tarikh Mahkamah membuat keputusan terhadap rayuan pendakwaan berhubung pembebasan Syed Saddiq daripada tuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram dana Armada Bersatu.
Sumber: Threads syedsaddiq




