LATEST
World News

Polis Indonesia bawa keluar 24 beg mayat dari kilang gula-gula terbakar

Polis Indonesia bawa keluar 24 beg mayat dari kilang gula-gula terbakar

JAKARTA – Polis Indonesia pada Ahad membawa keluar 24 beg mayat dari sebuah kilang gula-gula yang musnah susulan kebakaran di wilayah Banten, Pulau Jawa, Indonesia.Anggota bomba dilaporkan masih bertungkus-lumus memadamkan bara api dengan operasi mencari dan menyelamat (SAR) puluhan pekerja yang hilang masih dijalankan.Kebakaran tercetus pada petang Sabtu di kilang gula-gula PT Fonusa Agung Mulia di Cikande, daerah Serang.Menurut laman web syarikat tersebut, kilang berkenaan sebahagian daripada syarikat United Family Food Indonesia yang ditubuhkan pada 1981.Rakaman stesen televisyen Metro TV memaparkan waris mangsa dalam keadaan sugul di luar pekarangan kilang sementara menunggu khabar berita mengenai ahli keluarga yang dikhuatiri terperangkap dalam kebakaran terbabit.Ketua Polis Wilayah Banten, Hendra Kurniawan berkata, operasi SAR dijadual disambung semula pagi ini.Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kilang tersebut, Steven Erwin Wijaya dalam satu sidang media memaklumkan bahawa kira-kira 300 pekerja bertugas pada hari kejadian.Dalam kenyataan susulan, pihak pengurusan kilang mengesahkan seramai 24 dari 65 pekerja yang terbabit secara langsung dalam insiden itu dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.”Empat masih menerima rawatan perubatan, 29 lagi dilaporkan hilang manakala kedudukan lapan lagi pekerja belum dapat dipastikan,” katanya.Pada sidang media sama, pegawai pengecaman mangsa bencana (DVI), Wahyu Hidayati berkata, api terlalu marak menyebabkan mangsa yang ditemukan tidak dapat dikenal pasti secara fizikal.Justeru, pihak berkuasa sedang mengumpul sampel asid deoksiribonukleik (DNA) daripada ahli keluarga serta barangan peribadi pekerja yang hilang dengan proses pengecaman dijangka mengambil masa dua hingga tiga minggu.Jumlah sebenar mangsa yang maut belum dapat dipastikan berikutan pihak polis memaklumkan, satu beg mayat berkemungkinan mengandungi cebisan lebih daripada seorang mangsa.Pihak berkuasa memaklumkan punca kebakaran masih dalam siasatan, manakala sebahagian struktur bangunan itu dilaporkan berisiko untuk runtuh.United Family Food ialah pengeluar barangan pengguna di seluruh Indonesia yang menggajikan kira-kira 5,000 pekerja serta beroperasi dari ibu pejabat dan empat pejabat antarabangsa bagi memenuhi pasaran membabitkan lebih 250 juta pengguna. – Agensi

More in World News

View all

Latest news