RCI Tabung Haji: Kebenaran terbukti! Asyraf Wajdi luah syukur, saman RM5 juta bakal menanti pemfitnah

RCI Tabung Haji: Kebenaran terbukti! Asyraf Wajdi luah syukur, saman RM5 juta bakal menanti pemfitnah

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan kebenaran akhirnya terbukti berhubung isu Tabung Haji (TH), susulan tindakan undang-undang mula diambil terhadap individu yang didakwa memfitnah beliau.

Beliau memaklumkan Letter of Demand (LOD) terhadap individu terbabit telah berjaya diserahkan, manakala saman berjumlah RM5 juta bakal difailkan.

Menurut Asyraf Wajdi, tindakan itu dibuat selepas beliau mendakwa segala perkara berkaitan isu berkenaan telah diperjelaskan.

“Alhamdulillah kebenaran terbukti. Saman RM5 juta bakal menanti. LOD telahpun berjaya diserahkan kepada pemfitnah.
“Janji saya, Insya-ALLAH setiap sen wang ganti rugi akan diinfakkan kepada Yayasan Pelajaran Mara untuk manfaat pelajar miskin,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Sebelum ini, Asyraf Wajdi mengarahkan peguamnya daripada Tetuan Adnan Sharida dan Associates menyerahkan LOD kepada dua individu yang didakwa membuat serta menyebarkan hantaran berbaur fitnah terhadap beliau berkaitan isu Lembaga TH.

Individu terbabit ialah Ahli Majlis Pimpinan Nasional Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr Ismail Salleh dan pemilik akaun media sosial Abied Abdullah atau Habin Faisal Mohamed.

Artikel lain: Isu Tabung Haji: Ini soal maruah! Asyraf Wajdi hantar LOD RM5 juta kepada dua individu

Pada Khamis, laporan media memaklumkan dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 mendapati krisis yang berlaku berpunca daripada kelemahan tadbir urus dan pengurusan, bukannya disebabkan salah guna kuasa.

Laporan itu menyatakan beberapa faktor dikenal pasti menyumbang kepada masalah berkenaan termasuk pembayaran hibah yang tidak mampan, keputusan pelaburan berisiko tinggi, amalan perakaunan tidak sesuai serta kelemahan sistem tadbir urus.

Sebelum ini, Ismail dan Abied Abdullah didakwa membuat serta menyebarkan hantaran yang mengaibkan dan memfitnah Asyraf Wajdi berhubung peranan beliau dalam isu Tabung Haji.

Scroll to Top