Saya tidak pernah mempertikaikan kehebatan, jasa atau pencapaian Datuk Muhammad Azizulhasni Awang. Beliau ialah legenda sukan negara dan antara atlet terbaik yang pernah dimiliki Malaysia.
Segala pengorbanan, disiplin dan kejayaan yang telah beliau curahkan kepada negara wajar dihormati.
Namun, dalam kemelut yang berlaku berkaitan hala tuju beliau menuju Los Angeles 2028 (LA28), saya melihat isu ini daripada perspektif yang sedikit berbeza.
Bukan untuk menentukan siapa betul atau salah, tetapi untuk melihat bagaimana kita boleh mengurus hubungan antara atlet, organisasi dan sistem sukan dengan lebih baik.
Pandangan ini lahir daripada pengalaman saya sendiri yang pernah melalui beberapa peranan dalam dunia sukan sebagai atlet, jurulatih, pengurus dan turut terbabit dalam pengurusan tertinggi universiti.
Daripada pengalaman tersebut, saya belajar bahawa setiap peranan mempunyai tanggungjawab berbeza dan setiap organisasi mempunyai struktur, proses serta saluran yang perlu dihormati.
Ketika menjadi atlet, fokus utama kita ialah prestasi. Kita perlu mempunyai impian, sasaran dan keberanian untuk menyatakan apa yang kita mahu capai.
Jika sasaran kita ialah Olimpik, kita perlu berani mengatakan, “Saya mahu ke Olimpik. Saya bersedia untuk berjuang dan saya perlukan sokongan.”
Itu semangat seorang atlet. Namun, apabila kita berada di posisi jurulatih, perspektif kita mula berubah. Kita tidak lagi hanya melihat kepada kemampuan seseorang atlet, tetapi perlu melihat keseluruhan proses program latihan, prestasi, pertandingan, kecergasan, kecederaan, sains sukan, periodisasi dan perancangan jangka panjang.
Apabila menjadi pengurus pula, skop tanggungjawab menjadi lebih luas. Kita perlu mengurus komunikasi antara atlet, jurulatih, persatuan, pengurusan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) serta pelbagai pihak berkepentingan.
Di sini saya belajar bahawa tidak semua perkara boleh diselesaikan secara terbuka.
Ada perkara yang perlu dibincangkan secara dalaman. Ada perkara yang perlu melalui mesyuarat. Ada perkara yang memerlukan penelitian organisasi. Dan ada keputusan yang perlu dibuat secara bersama.
Penglibatan saya dalam pengurusan tertinggi universiti pula memberikan perspektif lebih besar tentang bagaimana sesuatu keputusan organisasi dibuat. Sesuatu keputusan tidak semestinya hanya melihat kepada kepentingan seorang individu.
Ia perlu mengambil kira polisi, prosedur, sumber kewangan, perancangan strategik, reputasi organisasi serta kepentingan keseluruhan ekosistem.
Sebab itu saya melihat isu Azizulhasni daripada perspektif tersebut. Jika benar perbincangan antara beliau dengan MSN telah berlaku dan pihak KBS serta MSN masih bersedia memberikan sokongan terhadap perjalanan karier beliau, pada pandangan saya, ruang perbincangan dalaman sewajarnya diberikan keutamaan.
Pada masa sama, kita juga perlu memahami bahawa hubungan antara atlet dengan kerajaan dan badan sukan ialah hubungan dua hala.
Atlet mempunyai hak untuk mendapatkan sokongan, fasiliti, program latihan, sains sukan, pertandingan, jurulatih serta segala keperluan yang munasabah untuk mencapai prestasi terbaik.
Namun, atlet elit juga mempunyai tanggungjawab terhadap organisasi yang menyokong perjalanan mereka.
Bersuara itu hak. Tetapi, cara kita bersuara juga menggambarkan tahap profesionalisme kita. Saya tidak mengatakan atlet tidak boleh mengkritik atau mempertahankan hak mereka. Sebaliknya, atlet perlu mempunyai suara.
Tetapi, suara terbabit perlu disampaikan melalui saluran yang tepat, dengan pendekatan yang profesional dan pada masa yang sesuai terutama apabila ruang perbincangan dalaman masih terbuka.
Azizulhasni sudah memberikan begitu banyak kepada negara. Beliau telah mengorbankan masa, tenaga, usia dan sebahagian besar kehidupannya demi mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.
Jika beliau benar-benar mahu meneruskan perjuangan ke LA28, saya sendiri mahu melihat beliau berdiri dengan penuh keyakinan dan berkata: “Saya bersedia. Saya mahu Emas LA28. Saya akan berjuang dan saya perlukan sokongan semua pihak.”
Selepas itu, tugas KBS, MSN, persatuan, jurulatih, pengurus dan semua pihak berkaitan adalah untuk membuka jalan serta memberikan sokongan terbaik supaya misi tersebut dapat direalisasikan.
Sebagai seseorang yang pernah berada di beberapa sisi dalam dunia sukan sebagai atlet, jurulatih, pengurus dan sebahagian daripada pengurusan organisasi. Saya percaya kita perlu melihat isu ini sebagai peluang untuk memperbaiki sistem.
Kita perlu membina satu ekosistem di mana atlet berani bersuara, organisasi bersedia mendengar dan kedua-duanya memahami tanggungjawab masing-masing.
Kita perlu mewujudkan komunikasi yang lebih terbuka, jelas dan profesional antara atlet dengan organisasi.
Kerana seorang atlet mungkin suatu hari nanti bersara daripada gelanggang. Seorang jurulatih mungkin meninggalkan padang. pengurus mungkin bertukar jawatan. Tetapi, sistem yang kita bina hari ini diwarisi generasi atlet akan datang.
Maka, jangan kita lihat kemelut ini sekadar sebagai satu pertikaian.
Penulis Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan & Komunikasi Jabatan Bahasa & Pengajian Umum Universiti Malaysia Perlis
© New Straits Times Press (M) Bhd
