Dallas: Sepanyol bakal mempunyai kelebihan penting menjelang aksi final Piala Dunia awal pagi Isnin ini selepas mengesahkan tempat ke pentas akhir lebih awal.
La Roja mara ke final Piala Dunia buat kali pertama sejak muncul juara pada 2010 hasil jaringan Mikel Oyarzabal dan Pedro Porro ketika menewaskan Perancis 2-0 pada separuh akhir di Arlington, Texas.
Anak buah Luis de la Fuente kini berpeluang menambah trofi Piala Dunia selepas kejayaan menjuarai Euro 2024 apabila beraksi di final di Stadium MetLife, New Jersey, manakala Perancis pula akan beraksi dalam perlawanan penentuan tempat ketiga sehari lebih awal di Miami.
Jika England menewaskan Argentina dalam satu lagi aksi separuh akhir, Sepanyol dijangka memiliki kelebihan apabila kedua-dua pasukan mengulangi final Euro 2024.
Ini berikutan satu corak menarik yang dikesan dalam kejohanan antarabangsa utama, menunjukkan pasukan yang mempunyai tempoh rehat lebih lama sebelum final sering muncul juara.
Kajian terperinci oleh The Athletic mendapati dalam 13 daripada 14 final Piala Dunia dan Kejohanan Eropah (Euro) sebelum ini, pasukan yang memperoleh sehari tambahan untuk berehat berjaya memenangi perlawanan akhir.
Antara contohnya ialah Sepanyol yang beraksi sehari lebih awal berbanding Itali sebelum final Euro 2012, Portugal yang mendapat kelebihan tempoh rehat ketika menewaskan Perancis pada final Euro 2016, serta Argentina yang menikmati situasi sama ketika muncul juara Piala Dunia 2022 di Qatar.
Satu-satunya pengecualian ialah final Kejohanan Eropah Wanita 2017 apabila Belanda menewaskan Denmark 4-2. Bagaimanapun, kedua-dua pasukan beraksi pada hari yang sama di peringkat separuh akhir, sekali gus tidak wujud kelebihan dari segi tempoh rehat.
Kali terakhir corak itu tidak menjadi ialah ketika Sepanyol muncul juara Piala Dunia 2010. Mereka berjaya menewaskan Belanda di final walaupun beraksi dalam separuh akhir yang berlangsung lebih hampir dengan tarikh perlawanan akhir.
Tempoh rehat tambahan itu dijangka menjadi faktor penting memandangkan pemain perlu berdepan cuaca panas serta keadaan mencabar sepanjang kejohanan di Amerika Utara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




