Suasana dunia semakin membimbangkan – Saksi tembakan Rumah Putih

Suasana dunia semakin membimbangkan – Saksi tembakan Rumah Putih
Suasana dunia semakin membimbangkan – Saksi tembakan Rumah Putih

Seorang lelaki maut selepas berbalas tembakan dengan anggota keselamatan berhampiran Rumah Putih.

WASHINGTON – Dua pelancong yang menyaksikan kejadian tembakan berhampiran Rumah Putih menyifatkan insiden itu sebagai cerminan suasana global yang semakin membimbangkan dan dipenuhi keganasan.

Robyn Naigles berkata, keadaan semasa amat menakutkan apabila insiden keganasan dilihat semakin kerap berlaku, khususnya sejak kebelakangan ini.

Beliau turut melahirkan rasa sedih kerana masyarakat gagal untuk bersatu, sebaliknya semakin dipengaruhi unsur kebencian dan keganasan.

“Keadaan ini benar-benar menakutkan. Kita hidup dalam zaman yang penuh ketakutan. Nampaknya keganasan berlaku sepanjang masa, terutamanya kebelakangan ini. Amat menyedihkan apabila masyarakat tidak dapat bersatu dan sebaliknya dipenuhi dengan keganasan serta kebencian,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Suspek berbalas tembakan berhampiran Rumah Putih maut

Seorang lagi pelancong, Daniel Lachar, yang baru tiba dari Boston turut berkongsi pengalaman peribadinya yang pernah berada di lokasi pengeboman Maraton Boston sebelum ini.

“Saya baru sahaja tiba hari ini dari Boston. Seperti yang anda lihat, saya memakai jaket sukarelawan dari sana, dan saya berada di lokasi ketika insiden pengeboman maraton berlaku,” katanya.

Menurutnya, sukar untuk menerima hakikat bahawa keadaan keselamatan tidak menunjukkan banyak perubahan sejak insiden tersebut.

“Saya rasa kita tidak banyak bergerak ke hadapan. Keadaan sebenarnya belum banyak bertambah baik sejak itu. Saya berharap kita dapat mencari jalan untuk mengawal penggunaan senjata api dengan lebih baik atau sekurang-kurangnya membantu mencegah kejadian seperti ini daripada berlaku,” ujarnya.

Beliau turut mengakui kebimbangan terhadap ancaman yang masih wujud, termasuk keganasan dan jenayah.

Dalam kejadian pada petang Sabtu, seorang lelaki maut selepas berbalas tembakan dengan anggota keselamatan berhampiran Rumah Putih, menurut Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat (AS).

Suspek terdahulu dilaporkan menghampiri sekatan keselamatan di persimpangan 17th Street dan Pennsylvania Avenue sebelum mengeluarkan senjata dari begnya dan melepaskan tembakan ke arah pegawai bertugas. – Awani 

Scroll to Top