SKUAD Harimau Malaya tidak wajar dilabel sebagai pasukan tempang susulan ketiadaan tonggak utama daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di Guangdong, China.Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail menegaskan, ketiadaan kelompok pemain utama itu sebaliknya perlu dilihat dari sudut positif sebagai peluang terbaik untuk memperluas kelompok pemain kebangsaan.Beliau juga mahu semua pihak bersikap lebih rasional dalam menilai situasi semasa skuad kendalian Harimau Malaya.”Kenapa kita nak label Harimau Malaya tempang? Adakah hanya kerana tiada kesebelasan utama? Kita tidak boleh berfikiran begitu.”Bagi saya, perlawanan persahabatan ini medan untuk memperkemas pasukan. Hakikatnya, kita tidak ketandusan pemain berbakat dalam liga tempatan dan peluang ini sepatutnya diambil oleh pihak pengurusan untuk menguji mereka yang selama ini dianggap sebagai pemain simpanan.”Jangan kita berfikir bila pemain utama tiada, maka tiadalah Harimau Malaya,” katanya.Mengulas lanjut, Jamal Nasir menyifatkan situasi berkenaan sebagai satu rahmat tersembunyi buat pemain yang sering dilabel sebagai ‘gred kedua’ untuk membuktikan kualiti sebenar masing-masing di pentas antarabangsa.”Bila bercakap tentang perlawanan persahabatan, kita mahu menguji gandingan dan menimba pengalaman untuk membentuk satu pasukan yang mantap, bukannya nak kejar piala.”Jadi, situasi ini membuka ruang kepada pemain baharu yang mungkin terlepas daripada radar pengurusan sebelum ini. Melalui pendekatan ini, kita akan ada 30 hingga 40 senarai pemain berbakat seperti zaman saya dahulu, bukannya hanya tertumpu kepada 15 atau 20 orang sahaja,” ujarnya.Dalam pada itu, Jamal Nasir percaya mana-mana pemain yang diberi kepercayaan menyarung jersi skuad kebangsaan akan memberikan komitmen maksimum bagi membuktikan kemampuan mereka.”Walaupun ada pemain yang aksinya tampak biasa dan kurang menonjol sebelum ini, tetapi apabila diberi kepercayaan, saya rasa mereka akan beraksi ‘all out’ kerana mahu buktikan kemampuan diri.”Semangat itu berbeza. Macam zaman saya dahulu, apabila diberi peluang, kita bukan beri 100 peratus tetapi 200 peratus,” jelasnya.Sebelum ini, barisan kejurulatihan Harimau Malaya tidak memanggil pemain JDT susulan jadual padat sepanjang November selain memberi laluan kepada kelab berkenaan memberikan tumpuan terhadap komitmen mereka di pentas domestik dan Asia.Skuad kebangsaan turut menerima tamparan apabila enam tonggak Selangor FC tidak dapat menyertai kem latihan selepas dilaporkan mengalami kecederaan susulan aksi separuh akhir kedua Piala FA menentang Kuching City FC, Ahad lalu.Skuad negara dijadual berdepan China pada Sabtu sebelum menutup siri perlawanan persahabatan dengan menentang Yemen tiga hari kemudian.
Tak wajar label Harimau Malaya skuad tempang
Malay News | https://www.malay.news/tak-wajar-label-harimau-malaya-skuad-tempang/