The Hague: Bekas penyerang Manchester United dan pemain antarabangsa Belanda, Ruud van Nistelrooy, kembali menyertai barisan kejurulatihan Belanda menjelang Piala Dunia, menurut pengumuman persatuan bola sepak negara itu, Jumaat.
Bekas penyerang berusia 49 tahun yang menjaringkan 35 gol daripada 70 penampilan bersama skuad kebangsaan Belanda itu akan menggalas peranan sebagai penolong jurulatih kepada ketua jurulatih, Ronald Koeman, ketika Oranje membuat persiapan menghadapi kempen Piala Dunia.
“Kembali memegang peranan ini bersama Belanda serta mewakili negara bersama barisan kejurulatihan dan kumpulan pemain berbakat adalah satu penghormatan besar dan cabaran yang amat bermakna buat saya,” kata Van Nistelrooy yang membimbing Leicester City dalam Liga Perdana Inggeris musim lalu.
Koeman pula menyatakan keterujaannya untuk memanfaatkan pengalaman berharga Van Nistelrooy dalam kejohanan besar, sama ada sebagai pemain mahupun jurulatih.
Belanda melepasi saingan kelayakan Piala Dunia tanpa kekalahan, dengan satu-satunya kecacatan ialah keputusan seri di tempat sendiri dan di tempat lawan menentang Poland.
Dalam saingan Piala Dunia, Belanda diundi dalam kumpulan bersama Jepun, Tunisia serta satu lagi pasukan yang muncul daripada pusingan kelayakan membabitkan Poland, Ukraine, Sweden dan Albania.
Pada edisi Piala Dunia 2022, Belanda tersingkir di peringkat suku akhir selepas tewas menerusi penentuan sepakan penalti kepada Argentina yang diketuai Lionel Messi dalam perlawanan panas di Qatar.
© New Straits Times Press (M) Bhd




