LATEST

[VIDEO] Kemelut MB Negeri Sembilan: Ahmad Zahid tunggu tarikh menghadap Tunku Muhriz

[VIDEO] Kemelut MB Negeri Sembilan: Ahmad Zahid tunggu tarikh menghadap Tunku Muhriz

KOTA TINGGI – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan masih menunggu titah daripada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir untuk menghadap bagi mempersembahkan nama calon Menteri Besar yang baharu.Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) memaklumkan warkah berhubung perkara itu sudah diutuskan kepada pihak istana, namun setakat ini masih belum menerima sebarang titah untuk menghadap.”Warkah telah diutus. Jadi, setakat ini saya belum dititah untuk menghadap dan kita mempunyai kepercayaan kepada kepimpinan negeri untuk mempersembahkan maklum warkah berkenaan,”jelasnya.Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Penyelarasan Antara Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Dengan Exco Luar Bandar ke-62 di Pusat Persidangan Desaru Coast di sini pada Rabu.Pada Selasa, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan menerima menghadap Ismail Lasim susulan kemelut semasa yang melanda negeri itu.Difahamkan, sesi menghadap itu bermula kira-kira jam 5 petang dan berakhir pada 6.30 petang sementara butiran lanjut mengenainya belum dapat dipastikan.Terdahulu, Istana Negeri Sembilan menerusi kenyataan Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Azizi Mohamad Ali memaklumkan bahawa peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.Pihak istana juga sebelum ini memaklumkan bahawa ketulenan surat peletakan jawatan yang dikaitkan dengan Ismail masih belum disahkan.

Latest news