LATEST

Akmal Asyraf tidak selesa dipanggil Piji?

Akmal Asyraf tidak selesa dipanggil Piji?

Cik Bunga ada terdengar cerita mengenai pelakon Akmal Asyraf yang dikatakan kurang senang apabila ada peminat mengaitkan dirinya dengan nama watak yang dibawanya. Malah, timbul juga cerita kononnya ada peminat yang menerima reaksi kurang menyenangkan apabila memanggilnya dengan nama watak tersebut.

Betulkah begitu? Kalau benar, Cik Bunga rasa perkara ini wajar diperhalusi sedikit. Bukankah apabila penonton begitu seronok memanggil seseorang pelakon dengan nama wataknya, itu petanda lakonan yang dipersembahkan berjaya meninggalkan kesan?

Baca juga: 25,592 anggota bomba digerak hadapi banjir

Maknanya, karakter itu hidup dalam ingatan penonton sehingga mereka terbawa-bawa perasaan dan keterujaan untuk mengaitkannya dengan pelakon berkenaan.

Bukan mudah hendak membuatkan penonton mengingati sesebuah watak. Ada pelakon yang berlakon bertahun-tahun pun belum tentu berjaya mencipta karakter yang melekat dalam ingatan orang ramai.Jadi, kalau peminat sudah mula memanggil Akmal sebagai Piji, apa salahnya? Bukankah itu nama watak yang dibawanya dalam drama bersiri Kudrat 1968?

Cik Bunga faham, setiap pelakon ada identiti dan nama sendiri. Mereka juga tentu mahu dikenali dengan nama sebenar, bukannya selama-lamanya dibayangi karakter yang pernah dibawakan.

Namun, janganlah sampai peminat yang sekadar mahu menunjukkan sokongan pula terasa seperti melakukan satu kesalahan besar.

Cuba tengok rakan seangkatan Akmal sendiri. Zarif Ghazzi misalnya, peminat masih selesa mengaitkannya dengan watak Abbas. Begitu juga Nadhir Nasar dan Amir Ahnaf yang pernah menerima tempias populariti menerusi karakter masing-masing.

Setakat yang diperhatikan, nama watak itu menjadi sebahagian daripada kenangan manis perjalanan seni mereka. Tidak pula kedengaran mereka bermasam muka setiap kali peminat mengungkit karakter yang pernah melonjakkan nama masing-masing.

Jadi, adakah ini soal keselesaan peribadi atau satu bentuk kejutan budaya apabila tiba-tiba mendapat perhatian luar biasa daripada peminat? Cik Bunga tidak mahu membuat kesimpulan melulu, tetapi kalau benar ada rasa kurang senang, eloklah disampaikan secara berhemah. Lainlah kalau peminat memanggil dengan gelaran yang bukan-bukan atau menghina. Itu cerita lain.

Kalau sudah ada peminat yang begitu menyayangi watak Piji, dakaplah momen indah itu. Cik Bunga cuma bimbang, kalau dari awal lagi sudah timbul persepsi kurang mesra dengan peminat, takut-takut orang yang dahulunya bersungguh-sungguh menyokong, lama-kelamaan memilih untuk menjauhkan diri.

The post Akmal Asyraf tidak selesa dipanggil Piji? appeared first on Utusan Malaysia.

Latest news