Madrid: Alex Baena melakar sejarah tersendiri dalam bola sepak dunia selepas menjadi pemain pertama memenangi tiga kejuaraan utama secara berturut-turut iaitu Euro, Sukan Olimpik dan Piala Dunia.
Kejayaan itu hadir selepas Baena membantu Sepanyol menewaskan Argentina pada final Piala Dunia 2026 di Stadium MetLife, New Jersey, sekali gus melengkapkan koleksi trofi luar biasa yang bermula sejak 2024.
Pemain tengah berusia 25 tahun itu terlebih dahulu menjadi sebahagian daripada skuad Sepanyol yang menjuarai Euro 2024 selepas menewaskan England pada final di Berlin.
Tidak lama kemudian, Baena turut membantu skuad bawah 23 tahun Sepanyol meraih pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024 sebelum melengkapkan “treble antarabangsa” dengan kejayaan menjulang Piala Dunia 2026.
Pencapaian itu menjadikan Baena mengatasi rekod beberapa nama besar seperti Lionel Messi dan Angel Di Maria yang turut pernah memenangi Euro/Copa America, Olimpik dan Piala Dunia, namun bukan secara berturut-turut.
Kejayaan Baena lebih bermakna kerana beliau bukan sekadar menjadi pemain simpanan dalam perjalanan Sepanyol ke pentas tertinggi dunia, malah memainkan peranan penting sepanjang kempen La Roja.
Bintang kelahiran Roquetas de Mar itu sebelum ini muncul sebagai antara pemain muda yang mendapat perhatian selepas berkembang bersama Villarreal sebelum menyertai Atletico Madrid.
Rekod baharu yang dicipta Baena menambah satu lagi sejarah buat Sepanyol selepas kejayaan mereka muncul juara dunia buat kali kedua.
Pada usia yang masih muda, pencapaian itu meletakkan Baena dalam kelompok eksklusif pemain yang berjaya mengumpul hampir semua kejuaraan utama di peringkat antarabangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




