Argentina, England sambung dendam Piala Dunia

Argentina, England sambung dendam Piala Dunia

New York: Pertembungan Argentina dan England pada separuh akhir Piala Dunia, awal pagi Khamis, bukan sekadar perebutan tiket ke final, sebaliknya menghidupkan semula antara perseteruan paling ikonik dalam sejarah bola sepak dunia.

Buat pertama kali, kedua-dua negara akan bertemu di pentas separuh akhir Piala Dunia selepas beberapa pertemuan bersejarah yang penuh kontroversi sejak 1966.

Pemergian bekas kapten Argentina, Antonio Rattin, minggu ini turut mengimbau semula episod panas ketika suku akhir Piala Dunia 1966 di England.

Dalam perlawanan itu, Rattin diperintah keluar padang sebelum bertindak memegang bendera penjuru yang memaparkan bendera Britain dan duduk di atas permaidani merah yang disediakan untuk Ratu Elizabeth sebagai tanda bantahan.

England memenangi perlawanan itu 1-0 sebelum muncul juara dunia, namun kenyataan pengendalinya, Alf Ramsey, yang menggelar pemain Argentina sebagai “haiwan” terus kekal dalam ingatan penyokong negara Amerika Selatan itu.

Dua dekad kemudian, kedua-dua pasukan sekali lagi bertemu pada suku akhir Piala Dunia 1986 di Mexico, hanya empat tahun selepas Perang Falklands atau Malvinas yang mengorbankan ratusan anggota tentera dari kedua-dua negara.

Dalam aksi itu, Diego Maradona menjaringkan dua gol yang terus terpahat dalam sejarah.

Satu daripadanya ialah jaringan “Hand of God” yang terhasil menggunakan tangan dan satu lagi dianggap antara gol terbaik sepanjang zaman selepas melepasi beberapa pemain England sebelum menjaringkan gol.

Dalam autobiografinya, Maradona mengakui kemenangan itu membawa makna lebih besar daripada sekadar bola sepak.

“Lebih daripada menewaskan sebuah pasukan bola sepak, kami menewaskan sebuah negara.

“Sebelum perlawanan kami berkata bola sepak tiada kaitan dengan Perang Malvinas, tetapi kami tahu ramai anak muda Argentina terkorban di sana. Ini adalah satu bentuk pembalasan,” tulisnya.

Hubungan antara Britain dan Argentina memang rumit sejak sekian lama.

Masyarakat Britain membawa sukan bola sepak ke Argentina pada abad ke-19, malah pengaruh itu masih jelas menerusi nama beberapa kelab seperti River Plate dan Newell’s Old Boys.

Namun, menurut penulis buku Angels With Dirty Faces: The Footballing History of Argentina, Jonathan Wilson, identiti bola sepak Argentina berkembang di jalanan dan padang tanah merah, berbeza dengan gaya bola sepak Britain yang lebih tersusun.

“Sejak 1920-an, bola sepak Argentina dibentuk dengan identiti tersendiri yang menekankan kreativiti, kemahiran individu dan kebijaksanaan berbanding corak permainan tradisional Britain,” katanya.

Pertemuan seterusnya pada Piala Dunia 1998 turut mencetuskan kontroversi apabila David Beckham dilayangkan kad merah sebelum Argentina menang menerusi penentuan sepakan penalti.

Empat tahun kemudian, Beckham membalas dendam apabila jaringan tunggalnya membantu England menewaskan Argentina pada peringkat kumpulan Piala Dunia 2002.

Menjelang aksi separuh akhir kali ini, pemain kedua-dua pasukan memilih untuk tidak menghangatkan sentimen sejarah.

Pengendali Argentina, Lionel Scaloni, menegaskan perlawanan itu hanyalah satu aksi bola sepak.

“Ia hanyalah satu perlawanan bola sepak. Tiada apa-apa yang lebih daripada itu. Jangan cuba mencari perkara lain,” katanya selepas kemenangan ke atas Switzerland.

Namun sebaik wisel penamat dibunyikan, pemain Argentina dilihat meraikan kemenangan bersama penyokong dengan menyanyikan lagu yang sering bergema di stadium negara itu, termasuk sorakan yang menyindir England.

Di bilik persalinan pula, pemain Argentina turut menyanyikan lagu yang mengaitkan kemenangan itu sebagai penghormatan kepada Malvinas, mendiang Diego Maradona dan Lionel Messi yang dijangka beraksi buat kali terakhir di pentas Piala Dunia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top