Beruang matahari minum 4 botol minyak masak terpakai

Beruang matahari minum 4 botol minyak masak terpakai

am@hmetro.com.my

Dungun: Kira-kira 1,300 penduduk Kampung Durian Mentangau, dekat sini, bimbang berikutan kemunculan seekor beruang matahari yang memasuki kampung dan merosakkan tanaman penduduk sejak dua minggu lalu.

Penduduk kampung, Mahadi Mohamad, 44, berkata, ramai yang terserempak dengan beruang terbabit yang berkeliaran di kawasan kampung.

“Beruang itu memakan umbut kelapa, sekali gus merosakkan pokok kelapa penduduk yang mula mengeluarkan hasil.

“Setiap hari, ia bergerak semakin jauh ke dalam kampung malah sudah terlalu banyak pokok ditanam penduduk yang dirosakkannya.

“Beruang ini bukan sahaja merosakkan tumbuhan yang rendah, malah ia boleh memanjat pokok kelapa setinggi sembilan meter untuk memakan umbut kelapa,” katanya.

Menurutnya, pada kejadian pagi tadi, beruang terbabit menceroboh kawasan rumah penduduk dan memakan minyak masak terpakai yang diletak di belakang rumah.

Mat Deris Mamat, 55, pula mengatakan yang beruang matahari terbabit menceroboh masuk ke rumah jirannya dan meminum minyak masak terpakai di belakang kediaman berkenaan.

“Jiran saya tiada di rumah kerana bercuti ke Kuantan, Pahang dan pagi ini, saya temukan banyak kesan tapak kaki di belakang rumah jiran.

“Bila saya periksa, saya dapati ia kesan tapak kaki beruang sebelum mendapati empat botol minyak masak terpakai tumpah diminum haiwan itu,” katanya.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Durian Mentangau Mazlan Mansor, 58, berkata, beruang terbabit juga memasuki kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Mentangau dan merosakkan tanaman di kawasan sekolah itu.

“Perkara itu dilaporkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan sebuah perangkap sudah dipasang di kawasan sekolah itu.

“Perangkap itu dipasang sejak dua minggu lalu dengan diletakkan umpan buah cempedak, madu dan minyak masak namun sehingga kini, beruang masih belum berhasil ditangkap,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Negeri Terengganu Loo Kean Seong berkata, beruang matahari terbabit dipercayai keluar dari hutan simpan Bukit Gong yang terletak berhampiran kampung itu untuk mencari makanan.

“Orang ramai diminta berhati-hati dan kami akan memasang beberapa lagi perangkap di kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi beruang itu berkeliaran,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top