Cerun berisiko di Jalan Merotai-Kalabakan perlu baik pulih segera

Cerun berisiko di Jalan Merotai-Kalabakan perlu baik pulih segera

TAWAU: Pembaikan ke atas cerun berisiko di Jalan Merotai-Kalabakan, di sini, perlu disegarakan untuk mengelakkan kejadian kemalangan sekali gus boleh mengancam nyawa pengguna jalan raya.

Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, keadaan cerun di Kilometer 55.1 dan Kilometer 55.8 laluan berkenaan membimbangkan serta memerlukan tindakan segera.

“Beberapa kemalangan dilaporkan sudah berlaku di kawasan itu awal bulan ini dan keadaan itu tidak boleh dipandang ringan.

“Isu jalan raya adalah antara perkara paling dekat di hati rakyat. Saya bimbang jika masalah cerun tidak ditangani segera boleh menyebabkan kemalangan lebih serius sehingga meragut meragut nyawa,” katanya selepas menghadiri Program Jelajah Rakyat 2026 Parlimen Kalabakan di Pulau Sebatik, hari ini.

Katanya, lokasi lain yang memerlukan perhatian ialah cerun jalan menghubungkan Sungai Tongkang dan Kampung Mentadak di Pulau Sebatik.

“Kelewatan membaiki cerun yang bermasalah itu boleh menjejaskan akses penduduk setempat,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top