Dominasi USPI: Danish hampir pecah rekod kebangsaan, Wardatul tebus kecewa

Dominasi USPI: Danish hampir pecah rekod kebangsaan, Wardatul tebus kecewa

PELARI pecut negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee semakin hampir untuk membaharui rekod kebangsaan acara 200 meter (m) selepas mempamerkan larian bertenaga pada Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 di UM Arena pada Rabu.

Mewakili Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), atlet berusia 19 tahun itu menamatkan perlumbaan dengan catatan 20.77 saat (s), hanya 0.04s di belakang rekod kebangsaan 20.73s yang turut menjadi miliknya sejak tahun lalu.

Catatan itu bukan sahaja menjadi yang terbaik buat Danish sepanjang musim ini, malah turut memadam rekod temasya 21.11s yang dicipta Aravinn Thevarr dari Universiti HELP pada edisi 2016.

Danish sebelum ini mencatat 20.85s ketika beraksi pada Sukan Malaysia (SUKMA) bulan lalu, sekali gus memperlihatkan peningkatan prestasi apabila berjaya memperbaiki masa kepada 20.77s di pentas SUKIPT.

Kemenangan itu turut melengkapkan pencapaian cemerlang atlet kelahiran Johor berkenaan yang meraih emas kedua selepas terlebih dahulu muncul juara dalam acara 100m, semalam.

Dominasi USPI: Danish hampir pecah rekod kebangsaan, Wardatul tebus kecewa

Wardatul (dua dari kiri) mengungguli acara 200m SUKIPT di UM pada Rabu. FOTO: Bernama.

“Saya sangat bersyukur kerana dapat memperbaharui catatan terbaik musim. Sebelum ini di SUKMA saya mencatat 20.85s dan di SUKIPT saya berjaya memperbaharuinya kepada 20.77s,” katanya.

Dalam perlumbaan sama, seorang lagi wakil UPSI, Aiman Ikhwan Yahya memenangi perak dengan catatan 21.39s, manakala Muhammad Haziq Muhammad Akhir dari Universiti Putra Malaysia (UPM) meraih gangsa selepas merekodkan 21.43s.

Sementara itu, penguasaan UPSI dalam acara pecut diteruskan apabila Nurul Wardatul Huwaida Mohd Hamka menjuarai final 200m wanita dengan catatan 24.76s.

Nurul Afrina Batrisyia Mohamad Rizal dari UPM meraih perak dengan catatan 25.02s, manakala Tay Shuen Min melengkapkan podium selepas mencatat masa 25.09s.

Wardatul mengakui tidak menjangka mampu meraih kemenangan kerana merasakan persediaannya bagi acara 200m kurang sempurna selepas banyak memberi tumpuan kepada acara lari berganti-ganti.

Bagaimanapun, pemenang perak 100m itu tetap berpuas hati kerana kejayaannya mencatat masa terbaik musim menjadi penutup manis buat aksinya dalam acara berkenaan.

“Tak sangka boleh menang kerana saya rasa badan saya tidak cukup bersedia untuk acara ini kerana asyik menyertai acara berganti-ganti.

“Jadi saya sangat berpuas hati dengan catatan masa ini kerana dapat mencatat rekod terbaik musim,” katanya.

Scroll to Top