lokman.khairi@hmetro.com.my
Beruas: Bermula dengan hanya 500 beg poli tanaman cili fertigasi sekitar lapan tahun lalu, petani muda ini kini berjaya mengembangkan lagi hasil pertaniannya 20 kali ganda kepada 10,000 beg poli.
Yusuf Jamal Khair, 31, dari Kampung Lubuk Pusing, di sini, adalah bekas juruteknik elektrik di Putrajaya, namun memilih pulang ke desa untuk berbakti kepada tanah.
Bapa kepada seorang anak itu berkata, dia mula bertanam cili secara fertigasi pada 2018 sekadar mahu mencuba bidang baharu selepas melihat potensi tanaman itu.
“Saya bermula dengan 500 beg poli sahaja di depan rumah menggunakan sistem fertigasi dengan modal RM10,000 daripada simpanan sendiri.
“Saya cuba sendiri selepas tengok orang lain berjaya. Masa itu saya buat kecil-kecilan depan rumah sahaja,” katanya.
Yusuf berkata, dia memilih menanam cili varieti Sakata 461 yang mengambil masa kira-kira tiga bulan dari peringkat semaian sehingga boleh dituai.
Katanya, antara cabaran terbesar ketika memulakan tanaman itu ialah serangan serangga kerana tidak mempunyai pengalaman atau mengikuti sebarang kursus.
“Saya hanya belajar melalui perkongsian pekebun lain di media sosial YouTube dan Facebook.
“Selepas kebun mula menunjukkan hasil, barulah saya mengikuti kursus persendirian dan melawat kebun pengusaha lain untuk menambah ilmu, sekali gus membantu mengembangkan kebun,” katanya.
Dia berkata, kebunnya kini meliputi lebih dua ekar dengan tiga plot tanaman yang diusahakan secara berperingkat bagi memastikan bekalan cili sentiasa ada di pasaran.
Katanya, pada 2023, Jabatan Pertanian Perak meluluskan bantuan berbentuk geran berjumlah RM50,000 yang dimanfaatkan sepenuhnya bagi membina para besi di kebunnya, sekali gus menggantikan kaedah lama menggunakan sistem gantung.
“Sebelum ini saya gantung setiap polibeg menggunakan tali pada tiang batu. Cara itu agak leceh, tetapi dengan adanya para besi kerja menjadi lebih mudah.
“Saya juga menerima bantuan baja daripada Jabatan Pertanian bersama geran berkenaan.
“Alhamdulillah, saya dapat tuai purata satu tan cili setiap bulan dan dipasarkan ke pemborong tempatan serta Pasar Borong Selayang,” katanya.
Yusuf berkata, pada tahun lalu pula dia menerima bantuan Agropreneur Muda sebanyak RM30,000 yang digunakan untuk membeli baja, gambut kelapa dan racun bagi meningkatkan produktiviti kebunnya.
Katanya, bantuan itu membuktikan komitmen Jabatan Pertanian Perak selaku agensi peneraju flagship Lembah Bakul Makanan (Keterjaminan Makanan) seperti digariskan dalam pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan idea Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
© New Straits Times Press (M) Bhd



