NEW DELHI: Gegaran daripada kereta api yang melalui landasan berhampiran dipercayai menyebabkan sebuah bangunan berusia 50 tahun di Vivek Vihar, timur Delhi, runtuh kelmarin.
Kejadian tersebut mengorbankan dua nyawa termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun, manakala empat lagi dilaporkan cedera.
Baca juga: Banjir kilat landa Puncak Alam, Meru
Majistret Daerah, Ajay Kumar berkata, bangunan yang terletak di Gali No.6, Jwala Nagar itu dipercayai mengalami keretakan sejak beberapa tahun lalu akibat gegaran daripada kereta api yang melalui landasan di belakangnya.
Beliau berkata, keadaan bangunan itu semakin uzur apabila pemiliknya didakwa gagal melakukan kerja pembaikan meskipun kerosakan semakin ketara.
“Sebahagian kecil daripada anjung bangunan itu, yang meliputi kawasan seluas kira-kira 16.7 hingga 18.4 meter persegi, runtuh menimpa bumbung tingkat bawahnya, sekali gus menyebabkan keseluruhan struktur bangunan itu runtuh,” katanya.
Bangunan itu runtuh dan menghempap enam individu yang berada di dalamnya.
Pasukan polis yang tiba di lokasi segera melancarkan operasi menyelamat sebelum berjaya mengeluarkan semua mangsa daripada timbunan runtuhan.
Kumar yang melawat lokasi kejadian selepas insiden itu berkata, keretakan turut dikesan pada bahagian bangunan yang masih tinggal ketika kerja-kerja pembersihan runtuhan dijalankan.
Beliau berkata, pihaknya sudah menghubungi Perbadanan Perbandaran Delhi berhubung keadaan bangunan berkenaan.- AGENSI
The post Gegaran kereta api punca bangunan 50 tahun runtuh appeared first on Utusan Malaysia.