Hantaran Pengerusi MN cetus tanda tanya

Hantaran Pengerusi MN cetus tanda tanya
Hantaran Pengerusi MN cetus tanda tanya

Annuar

SHAH ALAM – Hantaran Facebook Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa menjadi perhatian apabila dilihat memberi gambaran awal dipercayai melibatkan gagasan MN 2.0.

Menerusi hantaran itu, Annuar menzahirkan rasa gembira dan bersyukur tanpa memperincikan sebarang perkembangan selain meletakkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan.

“Saya gembira dan bersyukur. Semoga ia menjadi realiti.

“Buat masa ini biarlah pucuk pimpinan tentukan. Banyakkan berdoa,” katanya pada Khamis.

Terdahulu, tular gambar kehadiran Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad ke sebuah hotel yang mana berlangsungnya mesyuarat melibatkan Biro Politik UMNO pada malam ini.

Sebelum ini, Annuar yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO mengemukakan ‘formula’ pembahagian kerusi antara Pas dan UMNO sekiranya mahu menjayakan MN 2.0 bagi mendepani Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang bakal menjelang.

Annuar berkata, pertembungan antara saranan MN 2.0 dengan keputusan UMNO yang kini menggerakkan Rumah Bangsa adalah satu jalan bagi menjayakan semula agenda penyatuan ummah.

Nada sama turut disuarakan oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyatakan sudah tiba masanya MN 2.0 dijayakan demi memperkukuh politik Melayu dan umat Islam menjelang beberapa pilihan raya negeri (PRN) yang bakal berlangsung.

 

Mesti Baca

Scroll to Top