Kehilangan Nadia Kesuma: Suami sentiasa dapat perkembangan lanjut dari pihak berkuasa

Kehilangan Nadia Kesuma: Suami sentiasa dapat perkembangan lanjut dari pihak berkuasa

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Wisma Putra dan Konsulat Malaysia di Jeddah aktif berhubung dengan pihak berkuasa di Arab Saudi dalam usaha pencarian pelakon Nadia Kesuma, yang hilang selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah pada 14 Januari lalu.

Suaminya, Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah, 57, berkata beliau sentiasa mendapat perkembangan lanjut daripada kedua-dua agensi itu dan pihak berkuasa negara berkenaan mengetahui mengenai kehilangan isterinya.

“Apa yang saya faham, pihak berkuasa di sana sudah menjalankan usaha gerakan mencari isteri saya Di Jeddah dan kemungkinan juga di Madinah dan Makkah.

“Saya pasti di Jeddah juga semua orang melakukan pencarian sekiranya isteri saya masih ada di situ lagi.

“Agensi pelancongan juga sudah membuat laporan polis di Kuala Lumpur dan mereka juga memberikan banyak kerjasama,” katanya ketika dihubungi BH, di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan pelakon filem Syaitan Munafik dan Kudeta, Nadia Kesuma atau nama sebenarnya, Nadiah Kasumawati Abdul Karim gagal dikesan selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah.

Nadia Kesuma menyertai kumpulan umrah dan ziarah sebuah agensi pelancongan terdiri daripada 21 peserta bermula dari 14 hingga 28 Januari ini.

Muhammad Kamarul Kabilan berkata, beliau sekarang lebih banyak berkomunikasi dan menumpukan maklumat terbaru diperoleh daripada pihak konsulat.

“Isteri saya tidak pernah berperangai pelik sebegini dan kehilangannya sangat misteri. Dia seorang yang tidak leka, tidak mungkin tinggalkan beg begitu saja dan tidak pernah gagal menjawab panggilan telefon.

“Dia seolah bukan dia sekarang ini,” katanya.

Katanya, tiga anaknya berusia 11,13 dan 15 tahun juga disifatkan terganggu waktu persekolahan kerana sedih dengan perkhabaran mengenai ibunya.

“Jumaat lepas mereka tidak ke sekolah dan mungkin belum bersedia juga untuk ke sekolah. Saya juga akan bekerja di rumah buat sementara waktu ini, namun dalam masa yang sama saya tidak mahu memikirkan perkara yang buruk.

“Apa pun, terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu menghulurkan bantuan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top