SHANDONG – Seorang wanita yang koma selama tiga bulan akibat komplikasi rawatan selesema akhirnya sedar dan sempat tersenyum kepada tunangnya, dua hari sebelum majlis perkahwinan mereka berlangsung.
Memetik laporan South China Morning Post, Wang Ranran, 24, dari Taian, wilayah Shandong, menjalinkan hubungan selama enam tahun dengan tunangnya, Zhang Xirui.
Pasangan itu sebelum ini telah mendaftarkan perkahwinan pada hujung tahun lalu dan merancang majlis resepsi pada 25 April, termasuk membuat tempahan awal bagi hotel serta khidmat pengacara popular.

Keadaan Wang selepas tersedar daripada koma tiga bulan. Foto Baidu
Namun, segalanya berubah apabila Wang mendapatkan rawatan bagi sakit tekak yang disangka selesema biasa pada Januari lalu.
Menurut Zhang, mereka ke sebuah klinik berhampiran, Daiyue Jin Medical Hall yang dikatakan mempunyai reputasi baik.
Beliau berkata, selepas sesi konsultasi ringkas, seorang doktor wanita memberikan preskripsi ubat sebelum terus menyuntik mangsa tanpa melakukan ujian kulit atau bertanya mengenai sejarah alahan.
“Beberapa minit selepas suntikan, Wang mula berasa tidak sihat apabila lidahnya kebas, muntah dan mengalami kesukaran bernafas,” katanya.
Tambahnya, keadaan mangsa semakin teruk sehingga dia terpaksa menghubungi ambulans, namun ketika paramedik tiba, Wang sudah mengalami kejutan dan kekejangan.
“Dalam tempoh itu, doktor di klinik kelihatan panik dan tidak mengambil langkah kecemasan yang berkesan,” ujar Zhang lagi.

Wang (kiri) menunjukkan cincin pertunangannya dengan Zhang. Foto Baidu
Di hospital, Wang didiagnosis mengalami asidosis dan kegagalan pernafasan, dipercayai berpunca daripada kejutan alahan.
Walaupun berjaya diselamatkan, otaknya dilaporkan kekurangan oksigen lebih empat minit sehingga menyebabkan kerosakan kekal.
Zhang dilaporkan telah membuat aduan terhadap klinik berkenaan atas dakwaan kecuaian perubatan dan kini sedang mendapatkan khidmat guaman.


