Krisis pelarian Rohingya di Indonesia makin parah

Krisis pelarian Rohingya di Indonesia makin parah
Krisis pelarian Rohingya di Indonesia makin parah

Yasmin bersama keluarganya ketika ditemu bual TribunNews. – Agensi

JAKARTA – Kehidupan sebuah keluarga pelarian Rohingya di Kota Pekanbaru, Indonesia dilaporkan semakin meruncing apabila mereka terpaksa meminta makanan daripada penduduk setempat bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Menurut laporan media tempatan, Yasmin yang sudah tiga tahun menetap di Indonesia berkata, keadaan keluarganya semakin sukar selepas beberapa badan kemanusiaan antarabangsa mengurangkan bantuan akibat kekangan dana dan perubahan keutamaan operasi bantuan di beberapa negara konflik.

Di kediaman sederhana mereka, Yasmin dilaporkan hanya bergantung kepada lebihan makanan yang diperoleh setiap minggu untuk diberikan kepada anak-anaknya, malah ada hari tertentu mereka terpaksa menahan lapar.

“Kadang-kadang kami sebagai ibu bapa tidak makan dua hingga empat hari supaya anak-anak boleh makan,” katanya pada Selasa, lapor TribunNews.

Suaminya yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) dilaporkan tidak mampu bekerja, sekali gus menambah tekanan kewangan keluarga berkenaan.

Difahamkan, apabila bekalan makanan habis, keluarga itu terpaksa pergi dari rumah ke rumah penduduk untuk meminta bantuan makanan, walaupun tidak semua menerima permintaan mereka.

Keadaan tersebut turut menyebabkan mereka berdepan tunggakan sewa rumah selama beberapa bulan, selain kesukaran mendapatkan rawatan kesihatan akibat kekangan kewangan.

Situasi itu mencerminkan cabaran berterusan komuniti pelarian Rohingya di negara berkenaan yang semakin bergantung kepada bantuan luar untuk meneruskan kehidupan harian.-Agensi

Scroll to Top