Pekerja ladang wanita maut dihempap pokok kelapa sawit

Pekerja ladang wanita maut dihempap pokok kelapa sawit

KLUANG: Seorang pekerja ladang wanita maut dihempap pokok kelapa sawit yang tumbang semasa bekerja di Ladang Kekayaan, Paloh, di sini semalam.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Pegawai Bomba Kanan II Yusma Yuzaini berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 4.01 petang.

Katanya, seramai lapan anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

“Setibanya di lokasi, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) menjalankan operasi menyelamat dengan menggunakan jentera JCB dan peralatan menyelamat bagi mengangkat pokok yang menghempap mangsa.

“Mangsa, Safiah Abdul Rasid berusia 37 tahun berjaya dikeluarkan daripada timbunan pokok, namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Pegawai Perubatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada ketika menjalankan aktiviti di kawasan ladang atau hutan, khususnya selepas hujan lebat atau ketika cuaca tidak menentu yang boleh meningkatkan risiko pokok tumbang. – UTUSAN 

Scroll to Top