Pemain Arsenal digesa lerai sumpahan Tahun Baharu

Pemain Arsenal digesa lerai sumpahan Tahun Baharu

London: Mikel Arteta menggesa Arsenal memecahkan sumpahan Tahun Baharu ketika The Gunners memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) pertama mereka dalam tempoh lebih dua dekad.

Arsenal kini mendahului empat mata di atas Manchester City yang berada di tangga kedua pada pertengahan musim dan kekal sebagai pasukan pilihan untuk menjulang kejuaraan liga ke-14 mereka.

Namun, dalam lima daripada 23 musim sebelum ini apabila Arsenal menamatkan tahun kalendar di puncak liga, mereka gagal menjuarai kejuaraan. Kali terakhir berlaku adalah tiga musim lalu apabila skuad kendalian Arteta menamatkan saingan lima mata di belakang pasukan Pep Guardiola.

Bercakap hari ini menjelang pertembungan menentang Bournemouth awal pagi Ahad ini, Arteta mengakui tidak menyedari statistik mengecewakan itu tetapi menegaskan: “Jom kita pecahkan rekod itu.”

Pengendali Arsenal itu berkata pemainnya cukup bersemangat untuk menjulang kejuaraan liga buat kali pertama sejak 2004 selepas tiga kali berturut-turut menamatkan musim sebagai naib juara.

“Itulah yang mereka tunjukkan setiap hari ketika latihan dan dalam setiap perlawanan,” katanya.”Anda boleh lihat keinginan mereka, tenaga mereka, betapa mereka mahukannya. Itulah yang kami perlukan.

“Masih ada lima bulan lagi. Ambil satu hari pada satu masa, nikmati proses berada di kedudukan ini dan terus berjuang.”

Arteta turut memuji semangat pasukannya selepas membelasah Aston Villa 4-1 di Emirates kelmarin, ketika City pula diikat tanpa jaringan oleh Sunderland dua hari kemudian.

“Ia sangat bagus, terutama selepas menentang pasukan yang kuat dan menang dengan cara begitu meyakinkan,” katanya. “Sekarang fokus kepada Bournemouth. Kami tahu betapa sukarnya perlawanan esok dan semua orang perlu bersedia.”

Jurulatih dari Sepanyol itu berkata beliau gembira dengan kedudukan pasukannya pada separuh musim, namun mengingatkan masih banyak ruang untuk penambahbaikan.

“Sentiasa ada ruang untuk jadi lebih baik. Kami tahu setiap perlawanan adalah sukar dan setiap lawan mahu menewaskan kami.”

Arsenal berdepan masalah kecederaan musim ini, namun pertahanan Gabriel Magalhaes dan penyerang Gabriel Jesus sudah kembali beraksi. Bagaimanapun, Arteta mungkin sekali lagi terpaksa beraksi tanpa Declan Rice ketika bertemu Bournemouth.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top