TEMERLOH: Seorang pemandu ambulans swasta dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun, pertengahan bulan ini.
Muhammad Iqbal Fitri Mazlan, 29, didakwa di hadapan Majistret Anis Adlina Abu Johan atas pertuduhan berkenaan. Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh kamak-kanak itu di sebuah rumah di Taman Seberang Temerloh Indah 2A di sini, kira-kira pukul 9 pagi pada 11 Mei lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali, sekiranya sabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 1 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Adriana Azrin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Berdasarkan fakta kes, mangsa yang berusia dua tahun empat bulan dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Temerloh pada 13 Mei lalu selepas didapati tidak sedarkan diri.
Pegawai perubatan yang merawat mangsa mendapati kesan lebam di pelbagai bahagian badan dan dahi sebelum kanak-kanak itu ditempatkan di Wad High Dependency Paediatric (PHDU) untuk pemantauan lanjut.
Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa mengalami pendarahan dalam otak dan berada dalam keadaan kritikal sebelum disahkan meninggal dunia pada 18 Mei lepas ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh.
Bedah siasat yang dijalankan pada 19 Mei lalu mengesahkan punca kematian mangsa akibat kecederaan tumpul di kepala. Kes itu pada awalnya disiasat sebagai kes penderaan kanak-kanak sebelum diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas keputusan bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan tumpul di kepala.
Polis kemudian menahan dua suspek, iaitu tertuduh dan teman wanitanya berusia 30 tahun di Tanah Perkuburan Pengkalan Manggis, Temerloh pada 20 Mei lalu bagi membantu siasatan.
Tertuduh yang juga teman lelaki kepada ibu mangsa ditahan susulan siasatan lanjut berhubung kematian kanak-kanak berkenaan. – UTUSAN




