
Kongres Luar Biasa FAM menyaksikan kelulusan pindaan statut FAM oleh kesemua 18 ahli gabungan. Foto: FAM
PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) bakal memasuki era baharu selepas kesemua 18 ahli gabungannya meluluskan secara sebulat suara cadangan pindaan Statut FAM dalam Kongres Luar Biasa badan induk itu pada Khamis.
Keputusan tersebut menyaksikan penerimaan penuh terhadap pembaharuan statut yang dicadangkan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) hasil semakan menyeluruh terhadap struktur pentadbiran FAM.
Draf statut baharu setebal 77 halaman yang mengandungi 94 artikel itu memperkenalkan beberapa perubahan penting bagi memperkukuh tadbir urus serta memperluaskan penyertaan pihak berkepentingan dalam bola sepak negara.
Antara perubahan utama ialah pengurangan bilangan jawatan naib presiden daripada jumlah sedia ada kepada hanya tiga kerusi.
Pindaan tersebut turut membuka ruang kepada kelab-kelab Liga Super untuk diiktiraf secara automatik sebagai ahli gabungan FAM sekali gus melayakkan mereka memiliki hak mengundi dalam kongres.
Bagaimanapun, kelab yang ingin menikmati status tersebut perlu beroperasi sebagai entiti yang berasingan daripada persatuan bola sepak negeri masing-masing.
Selain itu, statut baharu turut mencadangkan penyertaan ahli gabungan baharu, termasuk wakil Liga Bolasepak Amatur (AFL), Liga Nasional Wanita, Liga Futsal Premier Malaysia, Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM) serta Persatuan Pengadil.
Dari segi komposisi baharu Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM, sebanyak tujuh kerusi akan diperuntukkan, dengan tiga daripadanya dikhaskan kepada wakil persatuan negeri dan badan gabungan seperti Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia, Persatuan Bolasepak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Persatuan Bolasepak Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Majlis Sukan India Malaysia serta Persatuan Bolasepak Cina Malaysia.
Empat lagi kerusi pula akan dibahagikan kepada dua wakil kelab, satu wakil wanita dan satu kerusi yang boleh diisi oleh wakil Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), PFAM atau Persatuan Pengadil.



