LATEST

Premium tanah KLSCAH RM1,000: MPN tuntut kerajaan beri penjelasan telus

Premium tanah KLSCAH RM1,000: MPN tuntut kerajaan beri penjelasan telus

KUALA LUMPUR – Majlis Profesor Negara (MPN) menggesa kerajaan memberikan penjelasan menyeluruh berhubung penetapan premium tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) sebanyak RM1,000 bagi pajakan sehingga 99 tahun, berbanding anggaran terdahulu RM4.67 juta.Presidennya, Prof Emeritus Datuk Dr Raduan Che Rose berkata, keputusan yang melibatkan perbezaan nilai besar itu perlu dijelaskan secara terbuka, berasaskan dokumen dan boleh diteliti masyarakat.Menurutnya, kerajaan perlu menjelaskan bagaimana kuasa pentadbiran tanah digunakan, kaedah penentuan kadar premium serta jaminan pertimbangan adil kepada institusi lain dalam keadaan setanding.Beliau berkata, kuasa budi bicara kerajaan perlu disertai alasan yang boleh dipertanggungjawabkan, terutama apabila konsesi besar diberikan.”Semakin besar konsesi yang diberikan, semakin tinggi tuntutan terhadap ketelusan keputusan tersebut,” katanya.Raduan berkata, KLSCAH mempunyai nilai sejarah yang wajar dipelihara sebagai sebahagian daripada warisan negara, namun pengiktirafan itu perlu disertai kerangka dasar yang jelas apabila digunakan sebagai asas pertimbangan premium tanah.Beliau turut merujuk penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, bahawa pertukaran kegunaan tanah daripada komersial kepada institusi menyekat pembangunan seperti kondominium dan pusat beli-belah.Bagaimanapun, katanya, penjelasan itu belum menjawab persoalan utama mengenai asas penetapan premium akhir sebanyak RM1,000.Menurutnya, kerajaan perlu membezakan nilai tanah, premium yang dikira mengikut peraturan dan konsesi yang diberikan melalui pertimbangan dasar kerana ketiga-tiganya mempunyai asas berbeza.”Jika anggaran RM4.67 juta berasaskan kegunaan komersial, nyatakan andaian serta kaedah pengiraannya. Jika pertukaran kepada kegunaan institusi menghasilkan premium lebih rendah, terbitkan pengiraan baharu.”Jika RM1,000 ditetapkan selepas remisi atau keputusan khas, jelaskan punca kuasa, jumlah pengurangan dan alasan bertulis yang menyokongnya,” katanya.Raduan berkata, kerajaan juga perlu menjelaskan sama ada terdapat dasar bertulis yang membolehkan institusi warisan, rumah ibadat, badan kebajikan dan pertubuhan kebudayaan memohon premium nominal berdasarkan syarat seragam.Katanya, perbezaan kadar bagi setiap institusi tidak semestinya tidak adil kerana faktor lokasi, keluasan, syarat kegunaan, tanggungan pemuliharaan dan manfaat awam boleh mempengaruhi keputusan.Namun, beliau menegaskan setiap perbezaan keputusan perlu dijelaskan berdasarkan ukuran konsisten bagi mengelakkan kebergantungan kepada campur tangan pemimpin atau hubungan dengan pembuat keputusan.Beliau turut meminta kerajaan menjelaskan syarat pajakan berkaitan pindah milik, penyewaan, perubahan kegunaan dan pembangunan pada masa hadapan, termasuk mekanisme penilaian semula premium sekiranya potensi ekonomi tanah meningkat.Katanya, tanggungjawab pemuliharaan, penyelenggaraan, keselamatan serta manfaat kepada masyarakat juga perlu dinyatakan dengan jelas dan boleh dikuatkuasakan sepanjang tempoh pajakan.Dalam isu sama, Raduan berkata, kebimbangan mengenai keharmonian sosial perlu ditangani secara matang kerana keputusan yang tidak diterangkan dengan meyakinkan boleh membuka ruang kepada prasangka dalam masyarakat.Beliau turut menegaskan perbahasan awam perlu berasaskan fakta dan mengelakkan tuduhan mengenai motif yang belum dibuktikan, selain meminta kedudukan bahasa Melayu diberikan perhatian dalam penyampaian keputusan rasmi kerajaan.Katanya, MPN turut menggesa kementerian menerbitkan ringkasan penilaian sebelum dan selepas pertukaran kegunaan tanah, kaedah pengiraan premium, punca kuasa remisi serta alasan penetapan kadar RM1,000 dan tempoh pajakan sehingga 99 tahun.Raduan berkata, semakan teknikal bebas juga wajar dilaksanakan bagi menilai andaian pengiraan dan perlindungan kepentingan awam, sekali gus menjadi asas kepada garis panduan yang boleh dirujuk institusi lain dalam keadaan setanding.

Latest news