SAN JUAN – Ratu Cantik Israel, Danielle Yablonka, berdepan detik memalukan selepas dicemuh penonton ketika menyertai pertandingan Miss Universe di ibu kota Puerto Rico pada akhir minggu lalu.Yablonka, 25, tampil mengenakan kostum yang membawa mesej keamanan dalam tiga bahasa iaitu Ibrani, Inggeris dan Arab.Sorakan dan laungan ejekan ‘boo’ bergema sejurus nama Israel diumumkan sebelum Yablonka melangkah naik ke pentas. Namun, wakil Tel Aviv itu tetap meneruskan peragaannya dengan senyuman seolah-olah tidak mengendahkan reaksi negatif penonton.Kostum berkenaan menampilkan busana berwarna emas berkilauan, lengkap dengan but sedondon dan hiasan kepala berbentuk mahkota besar.Yablonka turut mengembangkan jubah lebar yang memaparkan landskap negara haram Israel, pokok zaitun dan buah oren Jaffa.Bahagian belakang jubah itu pula dihiasi ilustrasi Baitulmaqdis yang dituntut Palestin sebagai ibu kotanya dengan tulisan yang membawa maksud ‘Kota Keamanan’.Ironinya, penampilan yang membawa mesej keamanan itu turut mengundang kecaman pengguna media sosial yang mempersoalkan percanggahan antara mesej tersebut dengan perang ganas rejim Zionis ke atas Genting Gaza dan kesengsaraan berterusan penduduk Palestin.Sebuah rakaman yang tular juga memaparkan seorang penonton menjerit ‘genosid’ ke arah Yablonka ketika dia tampil di atas pentas.Yablonka merupakan model dan pempengaruh kelahiran Miami, Amerika Syarikat (AS) yang berpindah ke Israel kira-kira dua tahun lalu. Dia pernah menduduki tempat kedua Miss Universe Israel 2025.Pemilihannya untuk mewakili Tel Aviv bagaimanapun mencetuskan kritikan warganet kerana didakwa tidak melalui pertandingan kebangsaan. Edisi Miss Universe tahun ini yang berlangsung di San Juan menyaksikan penyertaan wakil dari lebih 100 negara. – Agensi
Ratu Cantik Israel kena ‘boo’
Malay News | https://www.malay.news/ratu-cantik-israel-kena-boo/