am@hmetro.com.my
Baca juga: 140,000 alumni KPTM, UPTM bantu buka pintu kerja pelajar
Butterworth: Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam penyalahgunaan aset keselamatan negara, termasuk ahli politik tanpa mengira kedudukan atau pangkat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak akan melindungi mana-mana individu yang terbabit, sebaliknya mahu semua kelemahan dikenal pasti dan pihak bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya.
Beliau berkata, tindakan itu penting bagi memastikan imej serta reputasi warga pertahanan yang majoritinya berkhidmat dengan penuh disiplin dan dedikasi kepada negara terus terpelihara.
“Saya minta kerjasama semua pihak. Jika ada orang politik yang terbabit sekalipun, tiada siapa akan dilindungi.
“Ini risiko yang saya ambil sebagai orang yang dipertanggungjawabkan,” katanya ketika berucap pada Program Jelajah Wira MADANI bersama Warga TUDM di Pangkalan Udara Butterworth, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Panglima TUDM, Tan Sri Muhamad Norazlan Aris.
Anwar berkata, kegiatan jenayah seperti penyeludupan dadah tidak semestinya membabitkan satu agensi sahaja, sebaliknya berkemungkinan mempunyai rangkaian lebih luas yang turut membabitkan pelbagai pihak,
“Saya mahu gunakan kes ini untuk kita membersihkan (imej TUDM)…. Jangan soal dan jangan hindari.
“Kita harus bertindak semaksimum mungkin dan gunakan isu ini untuk cuba sedaya upaya kita bersihkannya. Ini bukan hanya berlaku dalam TUDM,” katanya.
Anwar berkata, beliau terkejut apabila pesawat tentera disalahgunakan sindiket untuk menyeludup dadah, selain mendapati kegiatan itu bukan hanya membabitkan tentera udara.
Katanya, dapatan awal mendapati sindiket berkenaan sudah beroperasi puluhan tahun menerusi pakatan sulit membabitkan pelabuhan, lapangan terbang, orang awam serta beberapa agensi penguat kuasa, termasuk individu yang mempunyai hubungan politik.
“Ia tidak akan berlaku jika tiada kerjasama daripada pihak pelabuhan, lapangan terbang dan beberapa agensi kerajaan lain,” katanya.
Anwar turut menegaskan beliau sudah mengarahkan pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh tanpa melindungi mana-mana pihak.
Katanya, beliau turut meminta kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya tiada gangguan dalam menjalankan siasatan terhadap pihak yang bertanggungjawab.
Beliau berkata, kerajaan akan terus mempertahankan majoriti warga TUDM yang menjalankan tugas dengan penuh disiplin dan berkorban kepada negara.
“Saya datang ke sini, saya beritahu kepada Panglima, Ketua Setiausaha Negara (KSN)… saya mahu pertahankan kerana majoriti rakan-rakan kita yang berkorban jangan dikaitkan dengan jenayah yang berlaku oleh segelintir orang.
“Saya pertahankan setakat ini panglima, komandan kita dan saudara-saudari yang bertugas.
“Teruskan dan kerajaan akan pertahankan serta bela nasib saudara-saudara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd