‘Selepas PJ, Hulu Selangor rayu segera bina hospital pakar baharu’

‘Selepas PJ, Hulu Selangor rayu segera bina hospital pakar baharu’

SHAH ALAM – Selepas cadangan pembinaan hospital kerajaan baharu di Petaling Jaya dan tuntutan kemudahan kesihatan di Puchong mendapat perhatian pelbagai pihak, kini Hulu Selangor turut menyuarakan keperluan mendesak untuk memiliki sebuah hospital pakar kerajaan bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin bertambah.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Dr Sathia Prakash Nadarajan berkata, kerajaan perlu melihat keperluan perkhidmatan kesihatan secara menyeluruh dan tidak hanya tertumpu kepada kawasan bandar utama, sebaliknya turut memberi perhatian kepada daerah separa bandar dan luar bandar yang sedang berkembang pesat seperti Hulu Selangor.

Menurut beliau, pembinaan hospital kerajaan baharu di Petaling Jaya sememangnya penting dan wajar diteruskan, namun pada masa sama keperluan penduduk Hulu Selangor untuk mendapatkan akses rawatan pakar juga tidak boleh terus ditangguhkan.

“Hulu Selangor meliputi hampir 20 peratus keluasan negeri Selangor dan lebih besar daripada negeri Melaka dengan anggaran penduduk sekitar 300,000 orang.

“Dengan pertumbuhan penduduk yang pesat, pembangunan kawasan perumahan baharu serta peningkatan keperluan penjagaan kesihatan, daerah ini memerlukan perhatian yang lebih serius daripada kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Dr Sathia yang juga Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Hulu Selangor menegaskan, isu akses kepada rawatan pakar tidak boleh dipandang ringan kerana faktor masa memainkan peranan penting dalam menentukan keberkesanan rawatan dan keselamatan pesakit.

“Masa adalah nyawa. Kita tidak boleh terus membazir masa rakyat Hulu Selangor untuk mendapatkan rawatan pakar.

“Dalam isu kesihatan, setiap minit amat berharga. Apabila pesakit perlu bergerak jauh untuk mendapatkan rawatan, terutama warga emas, ibu mengandung, pesakit kronik atau kes kecemasan, kelewatan boleh memberi kesan yang besar,” katanya.

Menurut Dr Sathia, sehingga kini penduduk Hulu Selangor masih bergantung kepada hospital di luar daerah seperti Hospital Selayang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Slim River serta beberapa hospital lain di kawasan berhampiran untuk mendapatkan rawatan pakar.

Katanya, keadaan itu menyebabkan ramai pesakit terpaksa menempuh perjalanan jauh selain berdepan kesesakan lalu lintas, kesukaran mendapatkan parkir dan tempoh menunggu yang panjang.

Beliau turut berpandangan bahawa majoriti pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital-hospital besar bandar pada masa hadapan, termasuk hospital baharu yang dicadangkan di Petaling Jaya, berkemungkinan datang daripada kawasan luar bandar dan separa bandar seperti Hulu Selangor.

Sehubungan itu, katanya, perancangan pembangunan kesihatan negeri perlu mengambil kira keperluan kawasan yang sedang berkembang pesat tetapi masih kekurangan akses kepada kemudahan rawatan pakar kerajaan.

“Hospital bukan soal politik atau siapa mendapat keutamaan terlebih dahulu. Semua kawasan memerlukan akses kesihatan yang baik.

“Namun bagi Hulu Selangor, keperluan untuk sebuah hospital pakar kerajaan kini semakin mendesak dan tidak boleh terus ditangguhkan,” katanya.

Scroll to Top