Shopee, YPU Terengganu perkasa PMKS ke pasaran digital

Shopee, YPU Terengganu perkasa PMKS ke pasaran digital

PLATFORM e-dagang gergasi, Shopee dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu melancarkan siri jelajah ‘Shopee Rai Lokal Jelajah Komuniti’ dalam usaha memperkukuh pertumbuhan perniagaan kecil di seluruh negeri melalui perdagangan digital.

​Inisiatif yang dianjurkan di YPU itu menghimpunkan usahawan tempatan, bakal pemilik perniagaan, affiliate dan ahli komuniti bagi melengkapkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan kemahiran praktikal keusahawanan digital.

​Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Datuk Ariffin Deraman berkata, usaha aktif Shopee dalam menyantuni komuniti perniagaan di Terengganu amat dialu-alukan bagi membantu mereka beralih daripada model tradisional kepada kehadiran dalam talian yang kukuh.

​”Inisiatif ini penting bagi membolehkan produk tempatan kita menembusi pasaran di seluruh Malaysia malah ke peringkat antarabangsa,” katanya ketika menyempurnakan perasmian majlis tersebut di ​Kuala Terengganu pada Isnin.

​Sementara itu, Ketua Dasar Awam Shopee Malaysia, Adli Amirullah menyifatkan Terengganu sebagai sebuah negeri yang kaya dengan usahawan bersemangat serta produk unik seperti keropok lekor, pes gulai kawah dan pakaian sukan tempatan.

​Beliau berkata, kerjasama dengan YPU Terengganu itu diharap dapat membantu lebih banyak perniagaan tempatan berhubung dengan pelanggan di luar komuniti mereka sekali gus membuka peluang pertumbuhan berterusan.

​”Shopee Rai Lokal Jelajah Komuniti menggabungkan latihan praktikal termasuk cara membuka kedai di Shopee, meningkatkan keterlihatan produk, serta memanfaatkan fungsi seperti Shopee Live dan program pemasaran afiliasi,” jelasnya.

​Dalam pada itu, ShopeeXpert yang juga Pengasas Ledakan Digital, Ridhwan Musa berkata, program tersebut memberi pendedahan langkah demi langkah kepada usahawan yang mungkin kurang biasa dengan platform digital.

​”Saya berharap program ini dapat menggalakkan lebih ramai usahawan di Terengganu mengambil langkah pertama dalam e-dagang dan memahami bahawa membina perniagaan dalam talian sebenarnya lebih mudah diakses daripada yang disangkakan,” ujarnya.

​Jelajah di Terengganu adalah sebahagian daripada inisiatif Rai Lokal Shopee yang lebih luas bagi memperkasa usahawan di seluruh negara.

Siri jelajah itu dijangka diteruskan ke Pengerang, Johor pada Jun depan.

Scroll to Top