SK PPPTR Tekam muncul juara bola sepak peringkat MSSD Jerantut

SK PPPTR Tekam muncul juara bola sepak peringkat MSSD Jerantut

PASUKAN bola sepak bawah 12 tahun Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak (PPPTR) muncul juara Kejohanan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Jerantut Zon Pulau Tawar 2026 di padang Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Sungai Tekam, Jerantut, Pahang baru-baru ini.

Pasukan SK PPPTR Tekam menumpaskan empat pasukan lain di peringkat awal sebelum membenam SK Felda Sungai Tekam Utara, Jerantut semasa pertandingan akhir dengan jaringan 5 – 0 sekali gus mewakili Zon Pulau Tawar ke Kejohanan peringkat MSSD Jerantut pada 6 hingga 7 Julai ini di bandar Jerantut.

Guru Besar SK PPPTR Tekam, Jerantut, Zainordin Mohamed Yatim berkata, sekolah gembira dan berpuas hati dengan reputasi pemain bawah 12 tahun sekolah itu sehingga merangkul johan Zon Pulau Tawar.

“Kesungguhan serta komitmen dua orang jurulatih berpengalaman bawah 12 tahun peringkat MSSD Jerantut yang juga guru sekolah ini, Maizul Hisham Mat Jusoh dan Mohd Zulhafiz Nasruddin telah menyerap kemahiran pemain serta semangat berpasukan,” ujarnya di SK PPPTR Tekam, Jerantut baru-baru ini.

Sementara itu, Pengurus Pasukan Sekolah, Muhd Zulhakim Hazaha berkata, pasukan sekolah bersandar harapan kepada keupayaan serta kemahiran pemain terbaik Zon Pulau Tawar, Mohamad Aslam Mohamad Amri pelajar Tahun Enam sekolah itu yang bermain di bahagian sayap kanan.

“Pemain ini (Mohamad Aslam) banyak membantu pasukan sekolah mengumpan bola kepada rakan sepasukan khususnya bahagian serangan sehingga mampu menjaringkan gol malahan dia sendiri mencetak gol dalam beberapa pertandingan peringkat zon,” katanya.

Ujarnya, pihak sekolah menaruh harapan serta berdoa supaya pasukan SK PPPTR Tekam yang mewakili Zon Pulau Tawar memenangi kejohanan peringkat MSSD Jerantut dan lebih jauh menjangkau peluang terpilih mewakili daerah dan negeri pada masa akan datang.-UTUSAN

Scroll to Top