syafil.syazwan@hmetro.com.my
Baca juga: Lebih 4,500 peserta meriahkan LEKAS Highway Ride
DETIK perkenalan yang bermula dengan rasa kurang senang di sebuah kandang kuda menyatukan pelakon, Shiqin Kamal, 35, dengan Mika Irfan Nojey Aman Amalo Nojey, 28, apabila pasangan itu diijabkabulkan, baru-baru ini.
Shiqin memilih tarikh penuh makna buat dirinya iaitu 25 November sempena ulang tahun kelahirannya bagi mengubat kerinduan terhadap arwah ibunya yang meninggal dunia pada 2014.
Menurut Shiqin, ketiadaan arwah ibu serta bapanya yang meninggal dunia sejak dia berusia empat tahun membuatkan sambutan hari lahirnya sebelum ini terasa kosong tanpa makna.
“Sejak ibu meninggal dunia, tiada lagi panggilan ucapan selamat hari lahir setiap pagi. Jadi, saya tak ada rasa untuk menyambutnya.
“Apabila saya mahu berkahwin, saya pilih tarikh hari lahir sendiri supaya ada makna baharu bersama suami. Tarikh bertunang pada 29 Ogos lalu pula dipilih sempena hari lahir Mika agar adil buat kami berdua,” katanya.
Mengimbas semula detik pertemuan pertama mereka pada Disember 2024 di majlis pelancaran kandang kuda baharu, Shiqin mengakui pernah berasa ‘meluat’ terhadap jurulatih sukan memanah berkuda itu.
Menurutnya, ini kerana Mika meminta dia menunggu ketika diajak untuk bergambar kerana sedang menyikat rambut kuda.
“Sepanjang bekerja dalam industri, tak pernah orang meminta saya tunggu dengan berkata ‘kejap ya’. Apabila dia selesai dan mengajak bergambar semula, saya balas balik ayat yang sama kepadanya,” katanya.
Namun, tindakan tegas Shiqin membalas kata-kata itu rupa-rupanya menjadi tarikan pertama buat Mika yang menghormati sifat berdikari dan ketegasan pelakon terbabit, meskipun pada awalnya dia tidak menyedari Shiqin adalah seorang selebriti.
Sementara itu, Mika berkata, dia tidak menggunakan pendekatan media sosial untuk mendekati Shiqin.
Sebaliknya, dia memilih cara tradisional dengan ‘merisik’ melalui kenalan rapat sebelum berdepan ‘temu duga’ serius daripada abang-abang Shiqin yang berjarak usia lebih 20 tahun dengannya.
“Abang-abangnya sangat menerima kehadiran saya, namun mereka bertanyakan soalan serius mengenai perbezaan usia tujuh tahun serta kesediaan saya menggalas tanggungjawab.
“Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan selepas saya berbincang dengan keluarga,” katanya.
Mengulas lanjut, Shiqin berkata, keputusan mereka mendirikan rumah tangga didorong oleh doanya ketika menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci pada awal tahun ini bagi mencari kepastian jodoh.
“Pulang sahaja dari Makkah, tiada lamaran romantik pun. Di dalam kereta, saya terus bertanya sama ada dia mahu berkahwin dengan saya. Apabila dia bersetuju, kami terus menetapkan tarikh dan berjumpa keluarga,” katanya.
Mengenai hala tuju kerjaya seni selepas bergelar isteri, Mika menyuarakan hasrat agar Shiqin mengurangkan babak bersentuhan dan mencadangkan konsep ‘berlakon ikut syariat’.
Menyambut baik saranan suaminya, Shiqin menjelaskan dia sememangnya lebih gemar membawakan watak aksi berbanding kisah percintaan dan akan terus menapis setiap tawaran skrip bersama Mika.
Pasangan yang juga peminat aktiviti menyelam ini merancang untuk menunda bulan madu ke tahun hadapan dengan memilih Maldives atau Semporna, Sabah sebagai destinasi pilihan memandangkan komitmen jadual kerja dan kelas latihan Mika yang padat.
Majlis akad nikah Shiqin dan Mika berlangsung serba ringkas, namun penuh bermakna dengan dihadiri 100 tetamu yang terdiri daripada keluarga serta sahabat handai terdekat kedua-dua belah pihak.
Pasangan itu dinikahkan oleh abang sulung Shiqin sendiri, Firozdeen Mohd Kamal dengan mas kahwin dua dinar emas. Majlis resepsi pula akan berlangsung pada 29 November ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd