KUALA LUMPUR: Sambutan menggalakkan diterima penganjuran RHB LEKAS Highway Ride 2026 apabila seramai 4,528 peserta dari 27 negara menyertai acara kayuhan malam yang memasuki edisi ke-11 itu, semalam.
Baca juga: Neuer beri bayangan bersara
Berlangsung di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), acara berkenaan menawarkan pengalaman berbeza kepada peserta dengan empat kategori dipertandingkan iaitu 105 kilometer (km), 78km, 17km dan 12km.
Memasuki edisi ke-11, LEKAS Highway Ride terus mengukuhkan kedudukannya dalam kalendar sukan berbasikal negara, selain menjadi tarikan kepada peserta yang mahu merasai pengalaman berkayuh di lebuh raya pada waktu malam.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan RHB, Datuk Mohd Rashid Mohamad berkata, acara itu bukan sekadar medan persaingan, malah memberi peluang kepada peserta meluangkan masa bersama rakan sepasukan dan keluarga.
“Berkayuh di lebuh raya tertutup pada waktu malam memberikan pengalaman yang berbeza berbanding aktiviti kayuhan lain. Jalan yang terbuka luas serta kilauan lampu menjadikan ia lebih berbeza.
“Ada yang hadir untuk berlumba dan menguji kemampuan diri manakala ada juga yang sekadar mahu menikmati suasana malam bersama rakan dan keluarga masing-masing,” katanya.
Rashid yang turut menyertai kategori 17km turut merakamkan penghargaan kepada peserta, rakan kongsi dan penyokong yang terus memberikan sokongan selepas acara itu terpaksa ditangguhkan sebelum ini akibat jerebu.
Beliau berkata, pihak penganjur berbesar hati dapat kembali menyambut kehadiran peserta bagi menjayakan acara berkenaan.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada para peserta, rakan kongsi dan penyokong atas kesabaran kerana terpaksa tangguhkan kayuhan sebelum ini kerana jerebu. Kami berbesar hati menyambut semula kehadiran anda,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd