Tun Dr Hasmah wanita hebat yang saya panggil ‘Mummy’ – Tunku Azizah

Tun Dr Hasmah wanita hebat yang saya panggil ‘Mummy’ – Tunku Azizah

KUALA LUMPUR – Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali menerusi satu nukilan penuh emosi yang disiarkan di portal Sinar Daily serta dikongsi di laman Facebook Kesultanan Pahang pada Rabu.

Dalam catatan tersebut, Tunku Azizah berkongsi pelbagai kenangan peribadi bersama Allahyarham yang disifatkannya bukan sahaja sebagai tokoh negara yang disegani, malah individu yang amat dekat di hatinya sehingga dianggap seperti ibu sendiri.

“Saya memanggil beliau Mummy. Beliau memanggil saya sayang,” tulis baginda sambil mengenang hubungan akrab yang terjalin sejak usia mudanya.

Menurut Tunku Azizah, antara kenangan yang paling tidak dapat dilupakan ialah seutas jam tangan Bvlgari yang dihadiahkan oleh ayahandanya, Almarhum Sultan Iskandar kepada Dr Siti Hasmah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong pada 1984 – 1989.

Baginda berkata, Allahyarham Dr Siti Hasmah terus memakai jam tangan tersebut setiap kali mereka bertemu dalam majlis rasmi dan kunjungan istana.

“Mungkin beliau tahu betapa besarnya makna jam itu kepada saya. Beliau menghormati ayahanda saya dan pada masa yang sama memberitahu anakandanya bahawa beliau masih mengingatinya,” tulis baginda.

Tunku Azizah turut mengimbau hubungan yang terjalin sejak beliau masih bergelar puteri muda dan sering menemani bondanya menghadiri acara rasmi.

Antara kenangan yang masih segar dalam ingatan ialah ketika beliau berkongsi kek bersama Dr Siti Hasmah dalam satu program Pandu Puteri kerana tarikh lahir baginda iaitu 5 Ogos, kebetulan jatuh pada hari ulang tahun perkahwinan Allahyarham Dr Siti Hasmah dan suaminya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Baginda juga mengingati minat Dr Siti Hasmah terhadap busana perkahwinannya selepas majlis perkahwinan diraja di Johor, termasuk rasa ingin tahu Allahyarham terhadap setiap perincian pakaian yang diperbuat daripada songket Brunei dan dihiasi sulaman manik.

Dalam perkongsian itu, Tunku Azizah turut menceritakan sisi peribadi Allahyarham Dr Siti Hasmah yang mungkin tidak diketahui ramai.

Menurut baginda, Allahyarham gemar berkongsi cerita santai termasuk mengenai bola golf yang pernah jatuh ke balkoni rumahnya dan kisah monyet yang mencuri makanan.

Dr Siti Hasmah juga mempunyai kecintaan mendalam terhadap muzik dan sering menghantar rakaman permainan biola kepada Tunku Azizah.

Malah, Allahyarham pernah menyanyikan lagu “Happy Birthday” menerusi pesanan suara khas sempena hari lahir baginda.

Disebabkan masalah penglihatan yang dialaminya pada usia lanjut, Allahyarham Dr Siti Hasmah lebih gemar menghantar pesanan suara berbanding menaip mesej.

Tunku Azizah berkata, baginda menyimpan nombor telefon Allahyarham dengan nama “Mum HP” kerana menganggap Dr Siti Hasmah seperti seorang ibu.

“Beliau memanggil saya sayang, menggenggam tangan saya dan memberi nasihat dengan cara yang paling lembut,” tulis baginda.

Menurut Tunku Azizah, hubungan mereka menjadi semakin erat ketika tempoh pemerintahan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Baginda menyifatkan Allahyarham Dr Siti Hasmah sebagai individu yang memahami keadaan dirinya tanpa perlu banyak penjelasan, termasuk ketika beliau melalui saat-saat sukar dalam kehidupan.

Pada satu ketika, kata Tunku Azizah, Allahyarham pernah menghantar pesanan suara yang ringkas tetapi cukup bermakna sehingga baginda memahami bahawa beliau sedang memberikan kata-kata semangat dan sokongan.

Dalam nukilan itu juga, Tunku Azizah mengenang jasa Dr Siti Hasmah kepada negara yang menurutnya jauh melangkaui peranan sebagai isteri Perdana Menteri paling lama berkhidmat dalam sejarah Malaysia.

Baginda menyifatkan Allahyarham sebagai wanita yang berkhidmat kepada negara atas kapasiti dan kekuatannya sendiri serta menjadi contoh kepada golongan isteri pemimpin dalam usaha membantu masyarakat.

“Beliau menggalas kehidupan awam dengan penuh maruah tetapi tidak pernah kehilangan sifat mesra dan kemanusiaannya.

“Bagi saya, beliau adalah contoh terbaik seorang isteri pemimpin, berwibawa, penuh tertib dan sentiasa mengambil berat tentang orang lain,” katanya.

Antara sifat yang paling dikagumi Tunku Azizah ialah kerendahan hati Dr Siti Hasmah.

Baginda menceritakan bagaimana Allahyarham pernah datang memohon maaf selepas membaca sebuah buku yang merujuk dirinya sebagai “First Lady.”

“Saya bukan First Lady. Permaisurilah First Lady. Mohon ampun, Tuanku,” kata Dr Siti Hasmah ketika itu.

Menurut Tunku Azizah, Allahyarham langsung tidak perlu meminta maaf atas kata-kata yang ditulis orang lain, namun, tindakan itu menggambarkan kehalusan budi dan rasa hormat yang sentiasa ada dalam dirinya.

Pesanan suara terakhir yang diterima daripada Allahyarham, menurut baginda, dihantar pada November 2023 ketika beliau berada di Istanbul bersama Wanita Pertama Turkiye, Emine ErdoGan.

Dalam pesanan itu, Dr Siti Hasmah menyatakan kerinduan terhadap Tunku Azizah dan hasrat untuk memeluk baginda.

“Saya mendengar semula suara beliau selepas pemergiannya dan saya menangis,” tulis baginda.

Di penghujung nukilan, Tunku Azizah berkata, ketika mengucapkan selamat tinggal buat kali terakhir kepada Allahyarham, ingatannya kembali kepada pelbagai kenangan yang mereka lalui bersama termasuk kek yang pernah dikongsi ketika baginda masih kanak-kanak, kunjungan Tun Dr Siti Hasmah ke hospital, sentuhan tangannya yang menggenggam tangan baginda dan panggilan mesra “sayang” yang menjadi simbol hubungan mereka.

Baginda turut mengenang Dr Mahathir yang kini meneruskan kehidupan tanpa isteri yang setia berada di sisinya selama tujuh dekad.

Mengimbau semula kisah jam tangan hadiah ayahandanya, Tunku Azizah berkata, Dr Siti Hasmah tidak pernah berbicara tentang kesetiaan atau kenangan.

“Beliau hanya memakai jam tangan itu. Itulah Mummy. Tidak akan ada insan lain sepertinya lagi.”

Baginda mengakhiri nukilan berkenaan dengan doa agar Allah SWT mengampunkan segala dosa Allahyarham, melimpahkan rahmat ke atas rohnya dan mengurniakan tempat tertinggi buatnya di syurga. – Awani

Scroll to Top